KUALA LUMPUR: Polis mematahkan kegiatan menjual barangan elektronik dipercayai barangan curi ke Afrika berikutan tertangkapnya tiga individu termasuk seorang lelaki rakyat Nigeria di sebuah gudang di Taman Fadason, Kepong di sini Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata kesemua yang ditahan berumur 25 hingga 44 tahun dan yang dirampas adalah pelbagai jenis barangan elektronik seperti radio, televisyen dan komputer pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM200,000.
"Semasa serbuan hasil risikan polis kira-kira pukul 12.30 tengah hari di gudang yang menyimpan barangan elektronik berkenaan, antara enam hingga tujuh lelaki dipercayai warga Nigeria telah meloloskan diri," katanya kepada pemberita di Balai Polis Kepong di sini, Jumaat.
Katanya dua lagi yang ditahan dalam serbuan itu ialah wanita tempatan yang masing-masing merupakan penjaga dan pekerja di gudang itu.
"Mereka (dua wanita) ditahan kerana disyaki bersubahat dan memberi sewa lot tapak di dalam gudang itu," katanya.
Zakaria berkata siasatan awal mendapati barang-barang elektronik itu dipercayai dibeli daripada penagih dadah hasil daripada pecah rumah serta dibeli di kedai barang-barang terpakai.
Selain barang-barang elektronik, sebanyak 103 kotak mengandungi bedak bayi turut dirampas.
Zakaria berkata bedak bayi ini dipercayai dibeli dengan harga murah dari pemandu lori yang membawanya yang sepatutnya dihantar ke Johor Bahru.
"Pemandu lori yang membawa bedak itu tidak dapat dikesan manakala lorinya pula ditemui di Perak dan dipercayai warga Nigeria terbabit membeli bedak-bedak itu dengan harga murah sebelum dijual ke negara asal mereka," katanya.
Beliau berkata dipercayai mereka telah menjalankan kegiatan itu antara lima hingga enam bulan lepas dan menggunakan perkhidmatan kapal kontena untuk menghantar barang-barang berkenaan ke Afrika. -BERNAMA