Rabu, 20 Julai 2011

Pas cuba tarik sokongan pengundi atas pagar

View Image

KUALA LUMPUR 18 Julai - Tindakan Pas yang berdolak-dalik dalam isu larangan pembukaan 13 premis hiburan di Kedah sepanjang Ramadan akan datang menunjukkan parti itu cuba mendapatkan sokongan para pengundi atas pagar di negeri itu.

Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Jayum Jawan berkata, larangan itu tidak harus timbul kerana penganut Islam mempunyai kod etika kehidupan tertentu terutama ketika berpuasa.


"Semua tahu orang Islam dilarang minum arak, mesti berpuasa di bulan Ramadan dan isu sama ada masyarakat itu dibenarkan memasuki premis hiburan pada bulan puasa sebenarnya langsung tidak timbul.

"Apatah lagi apabila Pas menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu yang didakwa tidak melaksanakan undang-undang dengan betul. Itu hanya kenyataan politik yang tidak menentu, ia hanya untuk tarik pengundi atas pagar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Pas yang menarik balik larangan penutupan 13 premis hiburan di Kedah pada Ramadan ini selepas menerima kata dua daripada Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Pas kemudiannya mengubah larangan itu dengan membenarkan pembukaan kesemua premis tersebut namun melarang penganut Islam daripada mengunjungi tempat-tempat berkenaan.

Lebih menyedihkan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu sidang akhbar semalam, mendakwa larangan itu dibuat kononnya demi membetulkan peraturan salah yang dibuat oleh UMNO selama ini.

Jayum berkata, masyarakat terutama para pengundi atas pagar perlu menilai setiap isu yang ditimbulkan oleh parti politik tertentu dengan matang agar mereka boleh membuat pilihan dengan tepat pada masa akan datang.

Setiausaha Kluster itu, Prof. Dr. Mansor Mohd. Noor pula berkata, sikap berdolak-dalik Pas itu menunjukkan parti tersebut sengaja bermain dengan sentimen Islam bagi mengukuhkan sokongan di Kedah yang bermajoriti Melayu dan Islam.

"Isu seperti ini boleh menguntungkan Pas kerana Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan merupakan negeri bermajoriti Melayu dan Muslim sungguhpun setiap penganut Islam tahu had-had mereka.

"Jadi masyarakat pasti tertanya-tanya adakah Pas tunduk kepada DAP, atau DAP tunduk kepada Pas atau Pas sekadar bermain 'real-politik' dengan menggunakan sentimen Islam? Wallahualam," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...