Translate

19/07/2011

Amalan puasa sunat Syaaban persiapan tempuh Ramadan

View Image

Latihan awal pelengkap nilai tambah ibadat wajib 

DETIK akhir Syaaban adalah proses pecutan terakhir menghadapi Ramadan. Dalam mana-mana pertandingan besar, latihan penting kerana tanpa latihan yang bersungguh, maka dikhuatiri persembahan terbaik menjadi luntur.


Begitu juga Ramadan, menghadapinya bukan isu biasa tetapi sesiapa yang gagal mengutip peluang keemasan pada Ramadan itu, celaka jawabnya. Walaupun ibadah wajib itu suatu yang dibudayakan, nilai tambah amalan sunnah dalam Ramadan peluang setahun sekali.

Sebab itu Nabi SAW mengaminkan doa dipohon Jibril AS ketika Baginda menaiki mimbar. Ketika itu Jibril berdoa: “Celaka seseorang yang masuk Ramadan, puasa pada siangnya dan solat pada malamnya kemudian meninggal dan tidak diampuni dosanya dan ia dimasukkan ke neraka.” (Hadis riwayat Bukhari dalam Adab al-Mufrad) 

Justeru, langkah drastik perlu dilakukan untuk menghadapi Ramadan. Contohnya, latihan berpuasa sunat Syaaban ibarat ibadah solat sunat rawatib yang menjadi ‘pengapit’ solat fardu, sebelum dan sesudahnya. 

Berkata Imam Ibnu Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lathaif Al-Ma'arif: “Seperti solat rawatib adalah solat yang mempunyai keutamaan kerana ia mengiringi solat wajib, sebelum atau sesudahnya, demikian puasa Syaaban kerana puasa Syaaban sangat dekat dengan puasa Ramadan; maka puasa itu mempunyai keutamaan dan puasa ini boleh menyempurnakan puasa wajib pada Ramadan.” 

Pada masa sama, ada banyak lagi riwayat sahih menunjukkan Nabi SAW memperbanyakkan puasa pada Syaaban seperti hadis Ummul Mukminin Aisyah: “Bahawasanya Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menyatakan, Baginda tidak berbuka. Dan Baginda berbuka (tidak berpuasa) hingga kami menyatakan, Baginda tidak berpuasa.” 

Jelas kepada kita Baginda mengkhususkan Syaaban untuk memperbanyakkan puasa dibandingkan bulan lain. Ini disebabkan bulan berkenaan sering dilupakan kerana berada antara Rejab dan Ramadan.

Kemuliaan puasa Syaaban dijelaskan dalam hadis Usamah Zaid: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: Ya Rasulullah, aku tidak melihat engkau berpuasa pada bulan lain seperti engkau berpuasa pada Syaaban. Rasulullah menjawab: Bulan itu (Syaaban) adalah bulan yang dilupakan manusia, iaitu bulan antara Rejab dan Ramadan. Bulan itu bulan diangkatnya amal manusia kepada Tuhan semesta alam. Aku suka amalku diangkat sementara aku sedang berpuasa.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan an-Nasaie) 

Walaupun memperbanyakkan puasa Syaaban itu satu sunnah, timbul persoalan adakah disunnahkan berpuasa penuh sepanjang Syaaban kerana ada riwayat antaranya dari Ummu Salamah: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali Baginda pernah mencantumkan Syaaban dan Ramadan.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Nasaie) 

Diriwayatkan Abu Daud: “Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa lengkap dalam mana-mana bulan dalam setahun kecuali Syaaban iaitu Baginda mencantumkannya dengan Ramadan.” (Hadis riwayat Abu Daud) 

Ulama berselisih pandangan dalam memahami hadis itu kerana ada mengatakan maksud sebenar berpuasa sepanjang Syaaban hanya dilihat dari aspek bahasa. Imam Ibn Hajar berkata, maksud Baginda berpuasa penuh sepanjang Syaaban ialah berpuasa hampir keseluruhannya saja. 

Kemudian Ibn Hajar mengatakan, maksud keseluruhannya pada kebiasaan orang Arab bererti ‘hampir keseluruhan atau hampir kesemuanya’. 

Kemudian timbul pula isu bolehkah berpuasa selepas pertengahan Syaaban. Perkara ini menjadi perselisihan ulama berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah yang maksudnya: “Jika sudah tiba pertengahan bulan Syaaban maka janganlah kalian berpuasa.” (Hadis riwayat al-Khamsah – Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Nasaie dan Ibnu Majah) 
Pandangan kalangan Mazhab Syafie, menegah dari berpuasa bermula 16 Syaaban. Ada yang menganggap makruh malah ada menafsirkan larangan yang dimaksudkan di sini ialah haram sama sekali. 

Bagaimanapun, aliran mazhab Syafie tidak mengharamkan secara menyeluruh. Pengharaman ini dikecualikan kepada mereka yang sudah biasa berpuasa sebelum pertengahan Syaaban sama ada berpuasa pada hari tertentu seperti Isnin dan Khamis. 

Jumhur ulama pula membolehkan berpuasa selepas separuh Syaaban kerana mereka mengklasifikasikan hadis itu sebagai hadis daif. Antaranya Imam Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in yang berhujjah hadis ini hadis mungkar kerana diriwayatkan oleh al-‘Alla’ bin Abdurrahman. 

Turut mendaifkannya ialah al-Baihaqi dan al-Tahawi. Pendapat ini juga disokong oleh imam Mazhab Hanbali iaitu Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam kitabnya al-Mughni. 

Bagi yang memegang pandangan jumhur ulama, maka ia boleh berpuasa selepas separuh bulan Syaaban manakala yang melihat kehebatan hujah itu lebih tepat mengikut pandangan Mazhab Syafie dan ulama terkemudian, maka lebih baik ia meninggalkan berpuasa selepas separuh Syaaban. 

Kecuali bagi mereka yang melazimkan puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa nazar dan puasa ganti. Begitu juga bagi mereka yang sudah mula berpuasa dari awal Syaaban. Namun penulis lebih kuat berpegang kepada pandangan kedua dari Mazhab Syafie dengan mengambil kata-kata dari Al-Qari: 

“Larangan berpuasa separuh akhir Syaaban bertujuan menjauhi perkara buruk kerana ia adalah suatu rahmat kepada umat supaya mereka tidak menjadi lemah dalam menunaikan ibadat puasa pada bulan Ramadan nanti. Tetapi bagi mereka yang berpuasa sepanjang Syaaban, sudah terbiasa dengan puasa dan ini tidak akan menyukarkan mereka melakukan ibadat itu.” 


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...