Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) berkata, tindakan itu perlu bagi mengelak berlakunya huru-hara.
Penasihat Utama Permas, Syed Husain Al Shahab turut mengingatkan orang Melayu agar tidak terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang mempengaruhi mereka untuk menyertai perhimpunan haram Bersih itu.
"Memang akan ada orang Melayu yang berhasrat menyertai Bersih tetapi mereka ini adalah golongan yang buta sejarah dan tidak mengenang budi yang kami anggap sebagai penderhaka," katanya pada sidang akhbar bersama perwakilan penduduk Jalan Raja Alang, Kampung Baru di sini hari ini.
Pengerusi Penduduk Jalan Raja Alang, Syed Muzairin Syed Kamarul Bahrin pula berkata, perhimpunan haram itu bukan sahaja akan merugikan penduduk kawasan tersebut yang majoritinya adalah peniaga malah bimbang dengan fahaman komunis yang mungkin cuba diserapkan dalam perhimpunan Bersih.
Di PERAK, seramai 3,000 belia berkonvoi di jalan-jalan utama bagi membantah perhimpunan Bersih.
Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Perak, Norlizaizul Ismail berkata, konvoi secara aman kira-kira sejam itu antara lain bertujuan menunjukkan golongan belia bersatu hati menolak himpunan tersebut daripada diteruskan.
Di JOHOR, Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) membuat laporan polis bagi menentang perhimpunan haram Bersih.
Timbalan Presidennya, Azmi Sojak turut menasihatkan kesemua guru di seluruh negara tidak terlibat dalam perhimpunan tersebut sebaliknya menumpukan perhatian kepada tugas hakiki mereka untuk mendidik anak bangsa.
Di PERLIS, sekumpulan 300 penduduk pelbagai bangsa berarak sejauh satu kilometer menuju ke pejabat DAP bagi membantah perhimpunan Bersih.
Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Aziz Tengku Jaafar berkata, perarakan secara aman itu adalah bagi menunjukkan kepada penganjur Bersih termasuk parti pembangkang bahawa rakyat tidak merestui tindakan haram tersebut.
Di PAHANG, enam lagi NGO tampil membuat laporan polis bagi membantah penganjuran perhimpunan haram yang disifatkan bagi mengguling kerajaan dengan mengunakan kekerasan.
Pengerusi Pertubuhan Insan Muslim Pahang, Ibrahim Maidin berkata, pemimpin Bersih yang bergabung bersama pemimpin pembangkang perlu mendengar suara majoriti rakyat dan bukannya bertindak untuk kepentingan politik mereka semata-mata.