Kuala Lumpur, 21 Jun- Perhimpunan dan Perarakan Bersih 2.0 yang dijadualkan pada 9 Julai ini merupakan agenda dan didalangi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) di mana Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan jurucakap utama untuk perhimpunan bersih ini, Ujar Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
“Buktinya baru-baru ini Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan untuk membatalkan rancangan perhimpunan haram pada 9 Julai ini jika Perdana Menteri memberi jaminan bahawa pilihan raya umum (PRU) akan dijalankan secara bersih dan adil. Anwar Ibrahim berkata, Anwar Ibrahim sanggup meminta pengerusi Bersih, Ambiga membatalkan hasrat itu ”esok juga” jika Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan jaminan tersebut.
Inilah buktinya bahawa beliau adalah peneraju utama, perancang untuk mewujudkan suasana tidak tenteram dan aman dalan negara kita. Mereka bertujuan untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap segala kepincangan yang mereka lakukan selain penerimaan rakyat terhadap transformasi yang dibuat Datuk Seri Najib yang membela dan mendahulukan rakyat,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Reezal mengakui tindakan Pemuda UMNO dan Pemuda BN untuk sama-sama membuat perhimpunan bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 9 Julai ini bagi menzahirkan sokongan terhadap sistem demokrasi sedia ada serta usaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperberbaiki lagi sistem pilihan raya yang ada pada hari ini.
“Kita bukan nak bersama-sama menyusahkan rakyat dengan mengadakan perhimpunan ini sebaliknya menunaikan tanggungjawab untuk masyarakat ‘silent majority’, mareka mahukan satu tindakan segera oleh Pemuda UMNO dan BN agar membuat sesuatu agar suasana aman damai di Malaysia ini akan terus terjamin.
Dalam masa yang sama, memorandum berkenaan antara lain akan turut menyentuh beberapa cadangan ke arah penambahbaikan sistem sedia ada termasuk isu pemindahan pengundi khususnya oleh parti pembangkang. Contohnya seperti isu yang diperkatakan baru-baru ini, di rumah Azmin Ali sendiri ada lima orang pengundi luar, berbangsa Cina didaftarkan di alamat Azmin. Kes-kes sebeginilah yang harus diperhalusi oleh pihak SPR untuk masa depan,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kepala Batas.
Dalam masa yang sama, reezal membayangkan Pengerusi Perhimpunan Bersih, Ambiga dijangka akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 atas tiket PKR.
Inilah modus operansi pihak pembangkang sejak PRU12 yang lalu. Ramai di kalangan calon-calon PKR selama ini berlincung di balik nama NGO sebagai wadah perjuangan sebelum terjun ke bidang politik bersama PKR.