Translate

27/06/2011

ISA Boleh Digunakan Terhadap Penganjur Perhimpunan Haram 9 Julai

View Image
Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak kemungkinan akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mana-mana penganjur perhimpunan haram pada 9 Julai.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata keperluan menggunakan tindakan ISA hanya dilakukan apabila terdapat ancaman kepada kepentingan awam dan keselamatan negara.

"Tindakan ISA boleh digunakan kepada perkara yang betul-betul menjejaskan keselamatan negara seperti (kumpulan militan) Jemaah Islamiah(JI)...sindiket perdagangan manusia, namun apabila digunakan dalam konteks yang berkaitan politik, pasti diekploitasi pihak tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Hulu Selangor di sini.

Hishammuddin berkata polis sedang memantau situasi dan perkembangan berkaitan perhimpunan haram tersebut termasuk reaksi daripada pelbagai pihak sama ada menyokong atau membantah perhimpunan haram itu.

Mengenai kemampuan polis dalam menangani perhimpunan pada hari itu nanti, beliau berkata polis dan pasukan keselamatan bersedia menghadapi kemungkinan pada hari tersebut.

Berhubung 31 orang termasuk Anggota Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj, kesemuanya aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditahan di plaza tol Sungai Dua, Pulau Pinang Sabtu, Hishammuddin berkata siasatan awal mendapati mereka ditahan kerana mempunyai agenda tertentu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...