KUALA TERENGGANU, 10 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu menyasarkan penubuhan 1,000 persatuan belia menjelang akhir tahun ini dalam usaha menggalakkan golongan belia aktif berpersatuan sekaligus mengurangkan gejala sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat, berkata kerajaan negeri memandang serius gelaja sosial di kalangan remaja di negeri itu dan penubuhan persatuan belia dapat membantu mengatasi masalah itu.
Dalam usaha menghidupkan semula persatuan belia, Rozi (BN-Telemong) berkata kerajaan negeri akan memberi bantuan berjumlah RM2,000 kepada setiap persatuan untuk perbelanjaan pengurusan.
Beliau berkata demikian dalam sesi pergulungan persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari Selasa.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, Dr Abdul Rahman Mokhtar berkata, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini kini dilengkapi dengan Unit Kardiologi yang mampu menjalankan pemeriksaan angiogram.
Katanya dengan kemudahan itu, rakyat negeri itu tidak lagi perlu pergi ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur atau Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, untuk mendapatkan rawatan angiogram.