Translate

11/05/2011

Penyelesaian Menang-menang Antara Nelayan, Megasteel Dan Pemilik Jeti

BANTING, 10 Mei (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar mahukan penyelesaian menang-menang tercapai di antara 400 nelayan dan pemilik bot dari lima pangkalan nelayan di Kuala Langat dengan enam pemilik jeti di pesisir Sungai Langat dan pengurusan kilang besi Megasteel Sdn Bhd.

Sehubungan dengan itu, beliau Selasa memberi tempoh sehingga 9 pagi esok kepada Megasteel yang dimiliki Lion Group dan enam pemilik jeti persendirian di sepanjang Sungai Langat untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi oleh para nelayan itu.
Noh berkata demikian dalam satu pertemuan dengan para nelayan, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Datuk Mohad Khazan Hamzah, Pengarah Laut Jabatan Laut Wilayah Tengah Kapten Jailani Jalal dan Pengurus Besar Lion Group Khor Bean Tatt di Pangkalan Nelayan Kampung Kelanang di sini.

Jika tiada jalan penyelesaian diterimanya pagi besok, Noh berkata beliau akan mencadangkan dalam mesyuarat Kabinet esok supaya operasi kilang besi itu diberhentikan sehingga penyelesaian dicapai.

Khor berkata syarikat itu memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga bulan bagi mencari jalan untuk menyelesaikan masalah itu.

Beliau berkata bukan Megasteel sahaja yang terlibat malah kapal-kapal kargo turut berlabuh di jeti-jeti persendirian di sepanjang Sungai Langat itu.

Jailani berkata beliau akan melakukan kajian sama ada had berlabuh kapal-kapal itu perlu diubah kerana ia terletak di kawasan lubuk ikan tumpuan nelayan.

Sehubungan itu, Noh berkata dalam tempoh tiga bulan ini satu mesyuarat bersama yang akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah LKIM akan diadakan bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah itu.

Menteri itu berkata bagaimanapun Megasteel dan keenam-enam pemilik jeti perlu melaksanakan tanggungjawab sosial korporat mereka bagi meringankan beban kerugian yang ditanggung para nelayan berkenaan.

Katanya kerajaan prihatin dengan penderitaan nelayan kerana pendapatan bulanan mereka lebih RM1,000 sebulan merosot sebanyak 60 ke 70 peratus dan juga Megasteel yang menyediakan 4,000 peluang pekerjaan di sini.

Kumpulan nelayan itu mendakwa aktiviti perkapalan di sungai itu telah menjejaskan mata pencarian mereka sejak 11 tahun lepas.

Sejak pukul 8 pagi semalam kira-kira 100 bot dan sampan nelayan dari lima pangkalan nelayan iaitu Kampung Kelanang, Bandar, Permatang Pasir, Tongkah, Pulau Carey disusun merentangi Sungai Langat berhampiran Pangkalan Nelayan Kampung Kelanang bagi menghalang kapal kargo, kapal tunda dan pontun mengangkut besi daripada melalui sungai itu.

Mereka berbuat demikian sebagai bantahan secara aman terhadap aktiviti perkapalan di sungai itu yang menjejaskan mata pencarian mereka kerana pukat mereka rosak tersangkut pada boya-boya yang di letakkan oleh Jabatan Laut sebagai penanda had berlabuh untuk kapal-kapal.

Ketua Pangkalan Nelayan Tongkah Majani Masron berkata mereka tidak akan berganjak daripada sekatan itu sehingga jalan penyelesaian terhadap masalah itu dicapai.

Pada dialog itu, beberapa nelayan berkata kedudukan kewangan mereka terhimpit apabila pukat mereka yang berharga RM1,300 sekeping koyak terkena boya atau dilanggar kapal yang lalu dan akibatnya hutang mereka dengan orang tengah bertambah kerana perlu kerap menggantikan pukat.

Mereka juga mendakwa aktiviti pemunggahan besi buruk dari kapal di tengah laut ke dalam pontun untuk di bawa ke kilang besi Megasteel telah menyebabkan pencemaran kerana ada besi buruk yang jatuh ke dalam laut dan juga merosakkkan pukat.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...