KUALA LUMPUR 12 Mei - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa peribadi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah jauh berubah berbanding sifatnya ketika pada awal perjuangan dahulu.
Menurut Ahmad Zahid, selaku individu yang mengenali Anwar dengan begitu rapat terutama ketika sama-sama berjuang dalam UMNO, tiada lagi ketenangan jiwa terpancar di wajah ketua pembangkang itu ketika ini.
"Saya simpati dengan beliau. Ternyata Anwar tidak mampu mengawal tekanan perasaan sedangkan beliau seorang pemimpin yang bercita-cita besar," katanya di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.
Sabtu lalu, ketika berceramah di Klang, Anwar menyebut perkataan bahasa Tamil 'pandi kutty' yang membawa maksud anak babi dalam bahasa Melayu, tetapi beliau menafikan gelaran itu ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ditanya apakah tekanan perasaan Anwar itu berpunca daripada salah laku moralnya sendiri, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mahu menuduh, tetapi yang pasti imej ketua pembangkang itu musnah teruk akibat nafsu sendiri.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, UMNO dan kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis sama ada mahu mendedahkan atau tidak identiti pelaku video seks yang didakwa mirip Anwar.
"Elok kita serah kepada polis untuk tangani isu ini kerana jika orang politik yang bercakap, kita akan dianggap mempunyai agenda. Jadi, cara terbaik kita serah kepada pihak polis untuk membuat keputusan," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Biro Latihan UMNO memberitahu, menjelang hujung Julai ini, seramai 60,000 jentera UMNO daripada pelbagai peringkat akan selesai menjalani kursus persiapan pilihan raya umum.
Katanya, kursus-kursus tersebut dilaksanakan setiap hujung minggu bagi mendedahkan jentera parti dengan peraturan pilihan raya sebagaimana ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).