Translate

23/04/2011

Lawatan PM Ke Terengganu Untuk Lihat Sendiri Suasana Hidup Rakyat


MARANG, 22 April (Bernama) -- Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Terengganu pada 30 April ini bertujuan bertemu dan melihat sendiri kehidupan rakyat negeri itu.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata kebanyakan aturcara Program Turun Padang Perdana Menteri selama sehari itu berkisar kepada pertemuan dengan rakyat.

"Perdana Menteri sudah pesan, tiada protokol untuk rakyat berjumpanya kerana beliau mahu melihat sendiri suasana hidup rakyat dan beliau tidak mahu lihat yang elok-elok sahaja.
"Datuk Seri Najib akan menemui pelbagai lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang parti di beberapa kawasan pinggir bandar seperti di Batu Enam, Bukit Tunggal, Manir dan Pulau Duyong," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau sebelum itu mewakili Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said merasmikan Mesyuarat Agung Serikandi Kali ke-24/2011. Turut hadir Yang Dipertua Serikandi Toh Puan Seri Norliza Mahmud.

Tengku Putera berkata Perdana Menteri akan turut menemui rakan online, facebook dan twitter beliau dalam siri pertemuan 'Mari Berjumpa, Mari Berhubung'.

"Rakan online anak Terengganu termasuk yang berada di Sarawak dan Pulau Pinang pun sudah mengesahkan akan balik untuk berjumpa Datuk Seri Najib," katanya.

Tengku Putera berkata program turun padang Perdana Menteri ke Terengganu adalah yang ketiga selepas melawat Johor dan Sarawak sebelum ini.

Lawatan Perdana Menteri ke Terengganu akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang mempunyai program berasingan di Dungun.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...