KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Ibu bapa disaran tidak memandang ringan sekiranya anak-anak mereka mengadu mengalami kesakitan pada sendi kerana dibimbangi mereka menghidapi simptom penyakit radang sendi 'Juvenile Idiopathic Arthritis' (JIA).
Perunding Rheumatologi Pediatrik Hospital Selayang Dr Tang Swee Ping berkata antara simptom awal JIA ialah kesakitan pada sendi jari tangan, bengkak pada sendi, kesukaran berjalan dan kekakuan sendi terutamanya pada waktu pagi selepas bangun tidur.
"Apabila anak-anak mempunyai simptom ini, ibu bapa perlu segera membawa mereka ke hospital untuk pemeriksaan awal kerana kemungkinan menghidap JIA.
"Bagi pesakit arthritis, sendi mereka menjadi tidak normal yang berpunca daripada penyakit autoimun," katanya kepada pemberita selepas pelancaran ubat biologik 'Humira Pen' keluaran syarikat Abbot oleh Pengurus Besar Abbot Laboratories Malaysia Muru Annamalai di sini pada Jumaat.
Dr Tang berkata kesedaran di kalangan ibu bapa tentang penyakit JIA adalah sangat penting kerana ia boleh menyerang kanak-kanak seawal usia 18 bulan tanpa mengira jantina.
"Kesedaran mengenainya di kalangan ibu bapa masih lagi kurang, sebab itulah kanak-kanak yang mengalami penyakit JIA lambat menerima rawatan dan menyebabkan mereka mengalami kesukaran pergerakan selain boleh merosakkan sendi berkenaan.
"Apabila pesakit meningkat dewasa, penyakit tersebut tidak lagi aktif sekiranya mereka telah menjalani rawatan dari peringkat awal lagi," katanya.
Dr Tang berkata Hospital Selayang merawat 160 pesakit JIA sejak 2004 sehingga sekarang.
Katanya rawatan dari segi ubat-ubatan dan fisioterapi akan diberikan kepada pesakit bagi mengurangkan kesakitan dan bengkak pada sendi, dan mencegah penyakit itu berterusan sehingga menyebabkan kerosakan sendi.
"Selain itu, pesakit juga akan melakukan senaman bagi menguatkan sendi, menjaga pemakanan yang betul supaya tulang menjadi kuat, memberi sokongan emosi serta memakai sarung tangan untuk melindungi sendi jari mereka," katanya.
Dr Tang berkata pesakit JIA juga perlu mendapatkan cukup protin dan karbohidrat untuk membesar dengan baik.
Sementara itu, penghidap JIA Siti Bazilah Puad, 19, berkata beliau menghidapi penyakit itu ketika berusia 9 tahun setelah mengalami demam panas.
"Ketika itu saya tidak boleh bangun, berjalan sehingga saya perlu didukung untuk ke mana-mana selama sebulan. Semasa dirawat di hospital, doktor mengajar dan melatih saya untuk berjalan dan bergerak semula.
"Saya juga mengalami kesukaran untuk bangun pagi, sehingga mengambil masa selama 30 minit untuk bangun kerana sakit pada sendi terutamanya pada jari-jari," katanya.
Siti Bazilah berkata setelah menjalani rawatan di Hospital Selayang, keadaannya beransur baik namun perlu sentiasa mendapatkan rawatan susulan.
Sementara itu, Pengurus Perubatan Abbot Laboratories Malaysia, Dr Mogana Sivalingam berkata Humira adalah rawatan terbaru di Malaysia yang lebih baik untuk pesakit JIA.
Ia adalah sejenis ubat pengubah suai penyakit (DMARD) yang telah digunakan di seluruh dunia untuk mengubati pelbagai jenis keadaan radang kronik, katanya.
Dr Mogana berkata hasil kajian klinikal membuktikan iaitu selepas 16 minggu menggunakan kaedah perubatan Humira, 94 peratus pesakit JIA bertambah baik dari segi tanda dan simpton 30 peratus.
Humira boleh didapati dalam dua bentuk iaitu Humira Picagari dan Humira Pen yang berbentuk seperti pen, memudahkan pesakit melakukan suntikan sendiri.