Semua penjawat awam diingatkan supaya menghormati kerajaan yang memerintah dan tidak melakukan sabotaj terhadap sebarang projek atau program yang dilaksanakan untuk pembangunan masyarakat tempatan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, selaku pekerja dalam pasukan kerajaan yang sentiasa memberi bantuan serta mempermudahkan segala urusan berkait dengan rakyat, mereka perlu jujur ketika menjalankan tugas masing-masing.
“Kalau rasa kerajaan yang memerintah ini (Barisan Nasional) tidak baik, sekular, lebih baik berhenti saja dan cari kerja lain yang sealiran dengan fahaman mereka,” katanya pada majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Penjawat Awam Daerah Besut, di Dewan Majlis Daerah Gong Kemutong, Besut petang semalam.
Katanya, kerajaan BN sudah sediakan yang terbaik untuk rakyat dan penjawat awam juga menikmati banyak keistimewaan termasuk pinjaman perumahan serta insentif lain.
“Bersyukurlah dengan apa yang dinikmati hari ini, hormatilah dan hargai apa yang kerajaan sudah beri dan kerajaan tidak minta balasan apa-apa, cuma ‘satu undi’ sahaja, itu pun mari lima tahun sekali,” katanya.
Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, beliau terkilan bila ada segelintir penjawat awam yang sanggup menghasut orang ramai supaya membenci kerajaan tetapi dalam masa yang sama menerima gaji daripada kerajaan.
“Saya sedih dan kecewa sangat kerana mereka masih tidak nampak kebaikan kerajaan semata-mata kerana terpengaruh dengan fahaman politik sempit parti pembangkang yang langsung tidak memikirkan masa depan generasi muda hari ini,” katanya.
Menteri Besar berkata, jalan paling baik kepada golongan ini ialah meletak jawatan dan pergi kepada parti yang mereka agung-agungkan itu.