KUALA TERENGGANU, 20 April (Bernama) -- Seramai 20,000 pengunjung dijangka memeriahkan Festival Kenyir yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 6 Mei ini.
Program yang julung kali diadakan itu dianjurkan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dengan kerjasama kerajaan negeri serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sempena sambutan ulang tahun ke-38 Ketengah.
Pengurus Besar Ketengah, Hamzah Ngah berkata, program itu akan diadakan di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, di Hulu Terengganu.
"Program ini bertujuan meningkatkan kunjungan pelancong domestik dan asing ke Tasik Kenyir serta memaparkan kesesuaian tasik itu sebagai lokasi untuk pelbagai jenis aktiviti darat, air dan udara, sebagai persiapan bagi mempromosi Tasik Kenyir sebagai kawasan Zon Bebas Cukai yang dijangka mula beroperasi pada Ogos tahun depan," katanya kepada pemberita di sini.
Sebanyak 170 gerai pameran dan jualan daripada agensi kerajaan, swasta dan usahawan akan dibuka sepanjang festival itu manakala acara seperti 'Kenyir Island Hopping' akan membawa pengunjung singgah di beberapa pulau.
Aktiviti lain termasuk pertandingan jet ski dan bot berhias serta pertunjukan perahu naga Putrajaya dan permainan bot kawalan jauh.
Hamzah berkata penganjur menyediakan kemudahan pengangkutan bas dan van percuma dari Kuala Berang, Hulu Terengganu ke Pengkalan Gawi.