Kedai ramalan nombor ekor atau kedai ekor sepatutnya hanya dikunjungi oleh bukan Islam kerana ia diandaikan sebagai aktiviti hiburan untuk mereka atau sebagai mencuba nasib meraih wang ganjaran.
Amat menjengkelkan apabila terdapat segelintir umat Islam yang tidak segan silu menjejakkan kaki ke premis judi untuk tikam ekor!
Daripada tinjauan yang dibuat Sinar Harian di beberapa lokasi sekitar bandar raya dan luar bandar, memang ada segelintir umat Islam yang selamba memasuki kedai ekor tanpa berselindung dengan harapan memperoleh kemenangan besar.
Namun adakah mereka tahu perbuatan itu salah di sisi agama kerana Islam melarang umatnya berjudi kerana ia perbuatan yang sia-sia.
Terdapat juga peminat nombor ekor yang ditemui berkata, perbuatan itu sukar dihilangkan kerana dirinya seakan ketagih apabila cuba menjauhi kedai ekor. Walaupun menyedari perbuatan itu bertentangan dengan ajaran Islam, namun bertaruh nombor ekor atau empat digit seolah mempunyai tarikan luar biasa hingga menyebabkan tabiat itu sukar dikikis.
Apa pun alasannya, bukan ketagihan atau kurangnya penguatkuasaan yang perlu diberi perhatian, sebaliknya penghayatan ajaran Islam yang harus dipertingkatkan.
Apakah mereka lupa dan alpa kerana wang yang digunakan untuk tujuan haram boleh diragui sumbernya kerana boleh menyebabkan mereka membelanjakan wang itu ke jalan yang tidak diredai.