Translate

23/02/2011

Satu Malaysia: Jati Diri Bangsa

Tiada satu pun etnik di negara ini terpinggir daripada arus kemajuan negara malah semuanya menikmati hasil kekayaan dibumi yang amat bertuah ini. Malah, Malaysia turut menjadi ” Syurga” kepada pendatang asing mencari rezeki untuk menanggung keluarga mereka di negara asal.
Tidak dapat dinafikan dalam era dunia tanpa sempadan, masih terdapat segelintir rakyat dinegara ini yang hidup dalam arus kemiskinan. Namun , perlu diingatkan bahawa segala dasar dan perancangan yang dilaksanakan oleh kerajaan berjaya menurunkan paras kemiskinan daripada 52.2% pada 1970 kepada 3.6% pada tahun 2007. Begitu juga peratusan miskin tegar sebanyak 4.0% pada 1990 berjaya diturunkan pada 0.7% pada tahun 2007. Taraf kehidupan rakyat Malaysia kini jauh lebih sempurna berbanding dengan sebelum merdeka.

Keberanian pihak tertentu untuk menggugat keharmonian dan keamanan negara sejak kebelakangan ini mencalarkan maruah dan kedaulatan negara.
Pelbagai Onak dan duri diharungi oleh generasi terdahulu dalam perjuangan menegakkan kemerdekaan, namun usaha untuk mempertahankan kemerdekaan ini dijiwa dan pemikiran setiap masyarakat Malaysia mutakhir kini kelihatannya lebih sukar.
Tepat pada masanya, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak melaungkan konsep ” Satu Malaysia “. Konsep ini merujuk kepada kepelbagaian etnik yang hidup dinegara ini saling berkongsi satu wawasan, matlamat , impian tanpa mengira fahaman agama, idealogi politik, taraf kedudukan, kepelbagaian budaya dan sebagainya dalam mewujudkan keharmonian negara secara berterusan.
Mesej ” Satu Malaysia ” perlu dihayati oelh rakyat Malaysia serta memahami maksud yang tersurat dan tersirat disebaliknya. Golongan muda perlu kembali menghayati lima prinsip Rukun Negara, memahami Perlembagaan Persekutuan, menjiwai maksud tersirat lirik lagu Negaraku serta menghormati Jalur Gemilang bagi mengembalikan jati diri dan rasa cinta akan negara.
Penyatuan etnik yang kini tergugat akibat kerakusan segelintir pihak yang mabuk kuasa untuk kepentingan diri sendiri mencemar persefahaman dan keamanan yang dipertahankan selama ini. Rakyat negara ini tidak seharusnya leka dan berasa selesa dengan situasi yang masih stabil. Kelekaan menyebabkan penyesalan yang tidak berpenghujung apabila kita sudah terlambat untuk mempertahankan kedamaian dan keharmonian seperti yang berlaku disesetengah negara.
Rakyat Malaysia seharusnya berasa bangga dengan tanah air yang didiami ini. Keharmonian dan kedamaian yang dinikmati tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Kesedaran terhadap betapa berharganya keamanan negara perlu ditanam dalam jiwa setiap rakyat Malaysia . Bak kata perpatah ” Dimana bumi dipijak, disitu langit dijunjung “.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...