Translate

23/02/2011

Dr Mahathir Beri Kebebasan Hasil 'Conversations With Mahathir Mohamed', Kata Tom Plate

PUTRAJAYA, 22 Feb (Bernama) -- Penulis buku 'Conversations with Mahathir Mohamed' Tom Plate berkata bekas Perdana Menteri itu memberi kebebasan penuh kepada beliau untuk menghasilkan karya tersebut.

"Saya menulis buku ini dengan cara yang saya mahu. Ini bukan buku yang beliau (Dr Mahathir) mahu ditulis. Ini adalah satu penghargaan yang penting buat saya," katanya pada pelancaran buku di bawah siri 'Giants of Asia' bertajuk 'Dr M: Operation Malaysia', di sini hari Selasa.

Plate juga berkata tidak semua perkara yang dibangkitkan dalam buku tersebut dipersetujui Dr Mahathir.
"Tetapi itulah yang sepatutnya," kata Plate, seorang wartawan Amerika Syarikat yang mengadakan empat perbualan dengan Dr Mahathir bagi tempoh 2009 dan 2010 sebelum menghasilkan buku tersebut.

Sebelum diterbitkan, Plate berkata beliau pernah memberitahu Dr Mahathir bahawa bekas Perdana Menteri itu mungkin tidak bersetuju sepenuhnya dengan buku tersebut.

Bagaimanapun Plate berkata Dr Mahathir hanya berkata: "Saya tahu. Itu tidak mengganggu saya. Saya cuma mahu anda menulis apa yang anda fikir jujur."

Plate berkata beliau juga pernah menawarkan kepada Dr Mahahthir untuk melihat terlebih dahulu draf buku sebelum diterbitkan seperti yang dilakukan kepada bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew.

Beliau berkata sekali lagi Dr Mahathir menolak dan berkata kepadanya: "Saya tidak mahu lihat buku itu. Anda telah menemu bual saya dan anda telah mendapat jawapan saya."

'Conversations with Mahathir Mohamed' adalah jilid kedua dalam siri 'Giants of Asia' selepas 'Conversations with Lee Kuan Yew".

Hasil jualan 20 edisi terhad berautograf buku terbabit akan disumbangkan kepada empat badan amal iaitu Montfort Boys Town, Society of Severely Mentally Handicapped Selangor and Wilayah Persekutuan, Persatuan Thalassaemia Malaysia dan Persatuan Sindrom Down Malaysia.

Berharga RM10,000 setiap naskhah, buku terbabit diautograf oleh Plate dan Dr Mahathir.

'Conversations With Mahathir Mohamed' yang mempunyai 248 muka surat dijual dengan harga RM79.90 senaskhah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...