Translate

28/02/2011

Pluralisme : PAS Pertahankan Kuasa Berbanding Agama


KUALA LUMPUR 27 Feb. – Sikap berdiam diri Pas dalam isu pluralisme iaitu satu fahaman yang amat bertentangan dengan akidah Islam jelas membuktikan kepimpinan parti itu sanggup mengetepikan kepentingan agama demi kuasa.
Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, ia tidak menghairankan kerana kepimpinan Pas kini lebih mementingkan kuasa daripada segala-galanya walaupun dahulu parti itu begitu kuat mempertahankan akidah.
Katanya, atas dasar itulah Pas sanggup bekerjasama serta mengiktiraf Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan pendukung fahaman itu sebagai Ketua Pembangkang.
“Terang-terang tahap akidah Anwar boleh dipersoalkan ekoran hubungannya dengan fahaman pluralisme. Persoalannya mengapa Pas sedia bekerjasama dengan Anwar?

“Mengapa pada satu waktu dahulu mereka sanggup menuduh UMNO kafir tetapi dalam isu ini mereka diam walaupun jelas fahaman pluralisme bertentangan dengan Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan pemimpin-pemimpin utama Pas mendiamkan diri berhubung isu fahaman pluralisme menimbulkan persoalan.
Najib berkata, sehingga kini kesemua pemimpin utama parti tersebut seperti Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menyatakan pendirian mereka terhadap fahaman yang bertentangan dengan Islam itu.
Najib berkata, hanya Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menyatakan beliau tidak setuju dengan fahaman tersebut.
Nakhaie berkata, sepatutnya dalam isu tersebut Pas dengan tegas menyatakan penentangan mereka terhadap fahaman itu demi Islam yang suci.
“Ini tidak, mereka terus diam, langsung tidak memberi sebarang reaksi. Punca semua ini adalah kuasa,” ujarnya.
Beliau berkata, pemimpin-pemimpin utama Pas sebenarnya tidak ‘berani’ menyatakan kebenaran kerana khuatir hubungan mereka dengan PKR terjejas.
“Inilah sikap sebenar pemimpin Pas. Walaupun jelas Anwar menyokong satu fahaman yang bertentangan dengan akidah Islam, mereka langsung tidak berbunyi,” katanya – utusan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...