Isnin, 28 Februari 2011

Pemimpin HINDRAF Salah Guna Kepercayaan Dengan Heret Penyokong - Kayveas

MELAKA, 27 Feb (Bernama) -- Pemimpin kanan HINDRAF dan Hak Asasi Manusia (HRP) telah menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan dengan menyeret penyokong mereka untuk berdemonstrasi secara haram bagi membantah novel 'Interlok' di Kuala Lumpur hari ini.

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas berkata tindakan kumpulan itu hanya semata-mata untuk menjaga kepentingan dua atau tiga pemimpin kanan dalam pertubuhan itu.

Beliau berkata tindakan demonstrasi bukan cara untuk mengubah atau meminda sesuatu isu tetapi sebaliknya ianya mesti dilakukan menerusi saluran yang betul dan mengikut peraturan undang-undang negara.
"Tiada siapa terkecuali di sisi undang-undang, lebih-lebih lagi HINDRAF pada ketika ini telah diharamkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi parti itu di pejabat PPP Melaka di Ayer Keroh, di sini.

Beliau berkata demikan ketika diminta mengulas tindakan polis menahan 109 termasuk lapan pemimpin kanan HINDRAF dan HRP kerana berdemonstrasi secara haram di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Jalan Pudu, Kuala Lumpur, sejak 8 pagi.

Mengikut laporan media, polis telah membebaskan 101 orang yang ditahan selepas disoal siasat manakala siasatan lanjut masih dijalankan terhadap lapan lagi dipercayai pemimpin dan penganjur demonstrasi itu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...