Translate

01/03/2011

Masjid Macma mercu tanda keunikan Islam - Rosmah

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Masjid Macma (Persatuan Cina Muslim Malaysia) bercirikan reka bentuk Cina yang bakal dibina di ibu negara, berpotensi menarik kedatangan pelancong ke negara ini, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Katanya cadangan pembinaan masjid itu di Jalan Davis di sini, yang turut menempatkan Kompleks Kebudayaan Islam, bukan sahaja menjadi mercu kepada keunikan agama Islam malah membuktikan bahawa agama tersebut adalah milik semua serta tidak tertakluk kepada satu kaum sahaja.


"Bagi sesetengah umat Islam, daya tarikan ini kelihatan seperti biasa, namun bagi masyarakat lain, itu adalah sesuatu yang perlu diketahui secara mendalam dan sewajarnya umat Islam mengambil peluang ini memperluaskan pengetahuan mengenai Islam dalam seni pelancongan.

"Pendekatan dakwah yang unik, sistematik dan terancang melalui pelbagai metodologi yang tersusun adalah dimensi baru yang perlu diketengahkan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penyampaian sijil dan anugerah kepada pemenang peraduan mereka bentuk masjid Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dan Kompleks Kebudayaan Islam di sini, hari ini.

Turut hadir isteri kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Datin Nafesah Raja Nong Chik dan Presiden Macma Datuk Dr Mustapha Ma.

Sebanyak 58 penyertaan diterima tetapi hanya 11 syarikat layak ke pusingan akhir dan dari jumlah tersebut dua syarikat telah dipilih menerima anugerah khas rekaan terbaik. Dua syarikat tersebut ialah Zon Design Rekabina Sdn. Bhd. dan Ang Wen Hsia dan Ang Boo Chung.

Masjid tersebut merupakan masjid pertama di Kuala Lumpur bercirikan konsep seni bina Cina.

Rosmah berkata masjid dan kompleks kebudayaan Islam itu bakal mengaplikasikan idea-idea segar menerusi penceritaan dan penerangan sejarah Islam terdahulu, bermula dengan pengembaraan Laksamana Muhammad Cheng Ho ke nusantara.

Katanya, banyak masjid di negara ini dilihat berpotensi besar menjadi tarikan pelancong seperti Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Terapung Tengku Tengah Zaharah dan Masjid Kristal di Terengganu.

Sementara itu, Dr Mustapha berkata kos pembinaan masjid itu dianggarkan RM100 juta.

"Sebelum ini, kerajaan ada umumkan untuk beri wang suntikan RM1 juta bagi projek ini...pada masa sama, kami harap majlis agama Islam terutamanya Wilayah Persekutuan serta syarikat swasta datang membantu kami,” katanya. - Bernama

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...