Translate

26/02/2011

Najib: Polis perlu tindak, kaum India wajar tolak Hindraf

KUALA LUMPUR, 25 Feb — Masyarakat India tidak perlu bergantung harap pada pertubuhan haram, Hindraf dalam memperjuangkan nasib mereka kerana kerajaan telah menjaga kepentingan kaum itu dengan sewajarnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kaum India seharusnya bersama-sama dengan Barisan Nasional (BN) yang mengambil berat terhadap masa depan dan kepentingan setiap kaum di negara ini.
“Soal kepentingan kaum India kita telah ambil tindakan, maknanya mereka tidak perlu pada Hindraf, mereka hanya perlu pada BN sahaja,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini hari ini.
Najib (gambar) berkata beliau mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang supaya pertubuhan itu tidak muncul kembali dan bergerak bebas walaupun ia telah diharamkan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rancangan pertubuhan itu untuk mengadakan perhimpunan tanpa permit di ibu negara, Ahad ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pemimpin Hindraf perlu dikenakan tindakan tegas atas dua kesalahan iaitu memperjuangkan sebuah badan yang sudah diharamkan kerajaan dan merancang mengepalai perhimpunan tanpa permit.
Mengenai pemimpin PAS yang tidak menyatakan pendirian mereka terhadap fahaman pluralisme (menyamakan agama lain dengan Islam), Najib yang juga Presiden Umno berkata pemimpin parti pembangkang itu perlu menyatakan pendirian mereka.
“Dia (pemimpin PAS) senyap sahaja, jadi saya tak tahu apa nak interpret (tafsir), mungkin (anda) patut ajukan soalan ini kepada pemimpin PAS, cuma ada seorang sahaja (Ketua Dewan Ulama PAS) Datuk Harun Taib buat kenyataan dia tidak setuju,” katanya.
Baru-baru ini Najib menyatakan bahawa fahaman pluralisme yang dicetuskan pihak tertentu termasuk anggota politik perlu disekat walaupun ia masih terhad dan terbatas kepada sesetengah pihak kerana ia jelas salah daripada segi akidah kepada umat Islam di negara ini.
Selasa lepas, Harun berkata Islam melarang sama sekali umatnya mengamalkan fahaman seumpama itu dan ia tidak boleh dicampuradukkan dengan ajaran agama suci itu.
Mengenai iktibar yang perlu diambil Malaysia terhadap penggunaan saluran internet yang telah mencetuskan huru-hara dan pergolakan di Mesir baru-baru ini, Najib berkata perkara utama yang boleh dijadikan pengajaran ialah dengan tidak memandang ringan terhadap suara dan ketidakpuasan hati golongan muda.
“...ini berlaku kerana sudah ada rasa tidak puas hati di kalangan rakyat terutama sekali orang muda. Kalau tidak ada pekerjaan terutama sekali pengangguran siswazah, tidak ada prospek masa depan, pembangunan, pembaharuan dan peluang untuk mereka menyuarakan kehendak dan aspirasi mereka.
“Kalaulah rasa tak puas hati itu membara di kalangan orang muda mereka akan bertindak sebab mereka mempunyai tenaga untuk menuntut kepada perubahan,” katanya.
Perdana Menteri menyifatkan gerakan itu sebagai “revolusi Facebook” iaitu rakyat menggunakan kemudahan jaringan sosial sebagai alat untuk menggerakkan tentangan terhadap pemerintahan diktator. — Bernama

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...