Translate

16/02/2011

Mencari Makna Krisis Mesir

1. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat menyambut Maulidur Rasul. Semoga makin bertambah ramai umat Muhammad s.a.w di negara ini sekaligus akan menjadikan kita satu umat yang kuat dan menjadi kuasa penentu dalam pemerintahan dan penggubalan polisi negara.

2. Berhampiran dengan sambutan Maulidur Rasul juga kita melihat kepimpinan sebuah negara Islam yang agak besar iaitu Mesir turut mengalami perubahan mengejut. Hosni Mubarak akhirnya tunduk dengan kehendak rakyat yang keluar berdemontrasi agar meletak jawatan.

3. Terdapat banyak analisa perletakan jawatan Hosni Mubarak. Selain memimpin terlalu lama dalam bentuk pentadbiran yang dianggap autokratik, masalah masalah ekonomi dan pengangguran yang terlalu tinggi telah "mengasak" rakyat sehingga "ke penjuru dinding" tanpa jalan keluar. Kesempitan hidup menyebabkan rakyat tiada pilihan kecuali keluar ke jalan dan berdemontrasi.

4. Satu lagi penyebab yang diutarakan oleh beberapa penganalisa politik ialah beberapa tindakan yang dilihat ramai sebagai usaha Hosni Mubarak dan Suzanne membina dinasti kepimpinan Mesir sebagai faktor tambahan pencetus kemarahan rakyat. Sejak tahun lalu dikatakan anak Hosni dan Suzanne, Gamal, dilihat banyak mencampuri urusan pentadbiran. Sungguhpun Gamal dianggap bijak dan seorang yang sangat cemerlang dalam pelajaran, namun beliau gagal memahami sepak terajang politik dalam negara tersebut. Tindakan dan campur tangan yang terlalu menonjol bukan sahaja menimbulkan kemarahan rakyat tetapi juga di kalangan penasihat dan pegawai lama yang setia.

5. Justeru Hosni Mubarak yang suatu ketika dahulu dijulang sebagai wira perang akhirnya dihambat dari negara tanpa sebarang rasa kasihani. Pengajaran kepada kejatuhan Hosni ialah jangan susahkan kehidupan rakyat sehingga rakyat tiada pilihan, akhirnya berpaling berhadapan dengan kerajaan. Gunakanlah kuasa sebaik mungkin bagi memberi kehidupan yang selesa kepada rakyat bukannya sekadar mahnu menunjukkan angka-angka ekonomi yang baik tetapi rakyat terbanyak tidak menikmatinya.

6. Namun yang amat menarik juga untuk dilihat ialah apakah perubahan kepimpinan Hosni Mubarak akan membawa satu keadaan yang lebih baik kepada rakyatnya atau memberi lebih banyak masalah dan derita seperti mana berlaku di beberapa negara lain yang melakukan perubahan melalui demontrasi, coup d'état dan peperangan.

7. Krisis Mesir ini juga memperlihat kemampuan cemerlang jentera kerajaan terutamanya Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pertahanan dalam menjalankan operasi menyelamatkan rakyat Malaysia. Biarpun tiada keganasan melampau sehingga menimbulkan ancaman yang serius kepada nyawa rakyat Malaysia, namun kerajaan telah bertindak pantas mewujudkan pelan menyelamatkan rakyat Malaysia di Mesir.

8. Saya percaya sebahagian besar bersyukur dengan usaha keras kerajaan dalam membantu mereka yang terperangkap di Mesir. Bagi segelintir yang merungut dan mengkritik operasi menyelamat ini atas alasan yang remeh-temeh seperti tidak selesa, lambat dan sebagainya, nyata mereka tidak pernah tahu erti bersyukur. Bayangkan rakyat sesetengah negara yang langsung tidak dipeduli oleh kerajaan mereka. Janganlah mengharapkan layanan "kelas pertama" dalam keadaan krisis dan penuh ketegangan.

9. Janganlah usaha bersungguh-sungguh pelbagai kumpulan termasuk kakitangan kerajaan, NGO dan pemimpin kerajaan termasuk YAB Perdana Menteri diperli dan diperlekehkan hanya kerana kepentingan politik kepartian yang berbeza. Janganlah orang memberi susu dibalas dengan tuba. Jika tidak mahu berterima kasih pun, diam sahajalah, jangan pula memburukkan.

10. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada sebahagian yang mengambil keputusan untuk terus tinggal di Mesir bagi menghabiskan kuliah dan peperiksaan. Mereka ini ternyata mempunyai iltizam dan iktikad yang kuat dalam meneruskan perjuangan mendapatkan ilmu. Semoga Allah melindungi mereka dari sebarang mara bahaya.

11. Akhirnya, semua kita patut bersyukur betapa kehidupan di Malaysia jauh lebih baik dan aman.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...