Translate

16/02/2011

Yoga untuk murid sekolah

SEORANG Ahli Parlimen di India memberi cadangan supaya pengajaran yoga diwajibkan di semua sekolah rendah di negara itu. Katanya, senaman yoga mampu meningkatkan tahap disiplin, kesihatan dan mengurangkan keletihan berkaitan penggunaan komputer.
Satpal Maharaj, 59, dari Parti Kongres, menjelaskan lawatan beliau ke China baru-baru ini telah memberi inspirasi kepadanya membuat cadangan tersebut. Jika syor tersebut diterima pakai, kira-kira 217,000 pelajar sekolah rendah di India yang mula belajar seawal usia lima tahun akan didedahkan dengan senaman kuno tersebut.

"Kami lihat pelajar sekolah di sana mengamalkan tai chi chuan (seni mempertahankan diri) dengan disiplin yang tinggi. Saya terfikir, kita telah lama menghadiahkan yoga untuk masyarakat dunia tetapi di India sendiri kita seakan-akan melupakannya. Sebab itu saya rasa kita perlu memperkenalkan semula seni tersebut di sekolah," kata Maharaj.
Yoga dalam bahasa Sanskrit membawa maksud penyatuan atau kesepaduan. Ia melibatkan latihan pelbagai postur fizikal yang dipanggil asana. Ia sering digabungkan dengan sesi meditasi yang panjang.
Perkembangan positif
Golongan cendekiawan di India juga percaya seni yoga mampu memberi perkembangan positif kepada pelajar sekolah. Ia diperkenalkan sejak 5,000 tahun lalu berdasarkan bukti arkeologi yang dijumpai dan rujukan dari kitab ilmu purbakala Hindu yang dikenali sebagai Vedas.
Maharaj, yang merupakan perwakilan di kawasan Garhwal dekat kaki Gunung Himalaya berkata, amalan yoga boleh membantu pelajar sekolah dan guru menangani permasalahan kesihatan termasuk petua perubatan kontemporari.
"Fenomena penyakit berkaitan penggunaan komputer seperti yang 'diperkenalkan' dunia Barat telah merebak ke India, maka amalan yoga sejak usia muda boleh membantu para pelajar menangani masalah kesihatan itu. Ia juga akan menggalakkan pelajar untuk hadir ke sekolah," jelasnya.
Mengikut draf undang-undang yang dinamakan Maharaj sebagai Akta Pengajaran Wajib Yoga di institusi pendidikan, 'pendidikan moden yang meminggirkan ajaran yoga sekali gus menjadikannya tidak lengkap'.
Tambah Maharaj, dia pasti parti pembangkang akan turut bersetuju dan menyokong projeknya apabila dibentangkan di Parlimen kelak.
Kedua-dua parti di Parlimen India pada masa ini tidak bersepakat berikutan siri protes yang diketuai Parti Bharatiya Janata (BJP) mengenai penyelewengan syarikat telekomunikasi bernilai berbilion-bilion dolar yang melibatkan kerajaan.
"Kita tidak seharusnya memikirkan tentang pendidikan semata-mata apabila bercakap mengenai peperiksaan di sekolah.
"Intipati kemahiran untuk hidup berkualiti adalah tabiat yang baik, disiplin, nutrisi dan latihan fizikal yang pelbagai," kata Prakash Javadekar, seorang Ahli Parlimen PBJ yang menyokong projek Maharaj.
Cadangan itu mungkin mendapat tentangan daripada komuniti India Muslim, kumpulan minoriti terbesar di negara itu. Namun, jelas Maharaj, seni yoga tidak perlu dilihat sebagai elemen yang mengaitkan agama Hindu.
BJP yang telah mentadbir kerajaan India selama lima tahun lalu bermula tahun 2004 pernah mendapat tentangan hebat apabila cuba memperkenalkan sastera dan puisi agama Hindu ke dalam silibus pembelajaran di sekolah.
Draf undang-undang itu bagaimanapun mensyaratkan bahawa pengajaran yoga tidak perlu dikuatkuasakan di 'institusi-institusi minoriti' yang menjadi simbol pendidikan eksklusif bagi orang Islam.
Kos permulaan
Cadangan itu juga menyatakan bahawa projek tersebut memerlukan kos satu bilion rupee (RM69 juta) dan sekali ganda lagi dalam jumlah yang sama untuk proses pengenalan.
Yoga merupakan satu seni yang telah India perkenalkan kepada dunia dan dipopularkan oleh para pengajar selebriti dan juga rancangan televisyen.
Berjuta-juta orang di negara Barat telah mengamalkan latihan postur itu sama ada di dalam kelas atau secara persendirian. Namun, latihan itu tidak diiringi ritual keagamaan yang berasal dari India.
Di 'tanah kelahirannya', yoga turut meningkat popularitinya apabila banyak kelab dan persatuan ditubuhkan di seluruh negara. Ia dilihat seiring dengan kemunculan pusat yoga kebangsaan dan pusat latihan pengajar senaman itu yang ditaja kerajaan negeri.
"Sehingga kini ramai generasi baru menganggap yoga sebagai salah satu ritual keagamaan. Meskipun begitu, masa telah berubah," kata Setiausaha Persekutuan Yoga India, Niren Mazumdar.
Seorang guru yoga terkenal India, Baba Ramdev, sudahpun mempunyai pengikut daripada kalangan selebriti Bollywood, ahli politik dan bintang sukan serta ribuan lagi masyarakat golongan pertengahan. Dia memperkenalkan senaman kuno itu melalui bengkel-bengkel yang dianjurkan di seluruh India.
Dalam usaha melindungi ilmu pusaka nenek moyang itu daripada 'dicuri' para pengamal asing, India telah membuat rakaman video bagi 1,500 postur yoga dan semuanya disimpan dalam pangkalan data negara.
Yoga juga dipercayai berguna untuk membantu anggota keselamatan yang berhadapan dengan keganasan di kawasan pergolakan Kashmir, selain digunakan untuk mententeramkan para tahanan Penjara Tihar di Delhi. - AFP

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...