Ketua Penerangan PPBM, Datuk
Kamaruddin Mohd Noor mengaku sedikit ralat apabila calon daripada partinya TIDAK BOLEH BERTANDING DI BAWAH LOGO SENDIRI pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ujar Kamaruddin, beliau bagaimanapun
akur keputusan yang dibuat Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) untuk MENGGUGURKAN LOGO PPBM DAN DAP selepas
mengalami masalah dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
MPPH pada minggu lepas bersetuju untuk
hanya menggunakan logo PKR dan Amanah pada PRU14.
"Biarlah, kita nak buat macamana,
tapi kita (PBBM) lebih selesa menggunakan logo PBBM sendiri.
"Tapi oleh kerana Tun dan
kepimpinan telah bersetuju untuk menggunakan satu logo dalam pilihan raya ini,
jadi kita akan gunakan satu logo,"katanya ketika dihubungi Antarapos.
Kamaruddin berkata PPBM akan memilih
logo yang sarat dengan lambang parti Melayu untuk meraih sokongan pengundi.
"Menggunakan satu logo adalah hal
yang bijak. Cuma logo mana yang digunakan itu, saya rasa tidak menjadi masalah.
"Asalkan ianya logo yang
melambangkan parti yang dipimpin dan didominasi oleh orang Melayu. Saya tidak
pasti kepimpinan akan cenderung pada mana satu antara PKR dan Amanah, jadi kita
tunggu nanti keputusannya," jelasnya.
Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata
beliau mahupun PPBM menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka demi
meneruskan perjuangannya menumbangkan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).
Malah beliau menganggap keputusan
menggunakan logo tertentu adalah suatu tindakan yang bijak dan tidak
mengelirukan pengundi.
"Ini penting untuk rakyat supaya
mereka tidak keliru tentang banyak sangat logo yang mewakili PH.
"Masalah yang timbul pada PRU yang
lalu adalah dari kalangan anggota Pakatan Rakyat menggunakan logo masing-masing
yang mengelirukan rakyat, lebih lagi masyarakat luar bandar," ujarnya.
Sebelum ini, RoS mengugut untuk
membubarkan PPBM jika parti itu tidak menyerahkan penyata kewangan dan minit
mesyuarat parti peringkat Bahagian dan Cawangan.
RoS sebelum itu menerima lebih 400
aduan daripada ahli PPBM yang mendakwa mesyuarat agung tahunan (AGM) yang
diadakan 30 Disember 2017 sebagai tidak sah.
Sementara DAP pula terpaksa menurut
arahan RoS mengadakan kembali pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusat
(CEC) selepas pemilihan terdahulunya diisytihar tidak sah.