Isnin, 8 Februari 2016

Pendapatan RM5 dan RM8 sehari untuk menampung keluarga ???


BUKIT MERTAJAM, 8 Februari:

Nasi kosong, kadangkala berlaukkan mi segera!

Itu makanan yang mampu disediakan seorang ibu buta dari flat Kota Permai di sini untuk keluarga.

Demi kelangsungan hidup keluarga Malikah Cholil, 34, mengambil upah mencuci pakaian menggunakan mesin basuh yang dihadiahkan oleh kawan-kawan suaminya, Othman Md Hassan, 76.

Upah yang dapat? Antara RM5 dan RM8 sehari!

Othman sendiri tidak berdaya untuk bekerja kerana menghidap sakit jantung dan anaemia sejak dua tahun lepas.


“Pakcik dulu berniaga air di tepi jalan tapi selepas disahkan sakit, selalu sesak nafas, sakit badan dan cepat penat, sekarang langsung tidak boleh bekerja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pasangan itu mempunyai dua anak perempuan – Siti Nor Afida, 13; dan Siti Zuraida, 11, masing-masing belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Alma dan Sekolah Kebangsaan Bukit Minyak.

Othman berkata peningkatan kos sara hidup pada masa kini, termasuk kos rawatan dan kunjungan ke hospital setiap minggu, sangat menghimpit kehidupan keluarganya sehingga kadang kala tiada makanan terhidang untuk mereka.

“Kami sekeluarga tiada pendapatan tetap, namun bernasib baik kerana kadang-kadang ada jiran  menyumbang makanan untuk kami.

“Nasib baik anak-anak faham dan tidak merungut, tapi pakcik kesian pada mereka.

“Kadang-kadang anak sulung terpaksa bekerja tolong kemas rumah orang untuk dapatkan duit upah bagi bantu keluarga,” katanya.

Sementara itu, Malikah berkata dia mengalami masalah penglihatan ketika mengandung anak bongsu mereka.

Selepas melahirkan Siti Zuraida dia terus buta dan doktor memaklumkan tiada rawatan bagi mengubati matanya.

Malikah berkata mereka sekeluarga pernah mendapat bantuan RM1,000 daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) tahun lepas dan baru bulan lepas mula menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200.

“Pendapatan ini tidak cukup untuk menampung kos perbelanjaan bulanan kami.

“Sekurang-kurangnya sebulan kami perlukan lebih RM1,000 untuk sewa rumah, bil air dan elektik, kos perubatan suami dan belanja sekolah anak-anak,” katanya.

Dalam pada itu, sebuah pertubuhan bukan Kerajaan (NGO), One Hope Charity and Welfare tampil membantu keluarga berkenaan dengan menyalurkan bantuan bulanan berupa makanan dan wang tunai sejak dua bulan lepas.

Pengerusi One Hope Charity & Welfare Berhad, Chua Sui Hau (kiri) menyerahkan cek sumbangan RM4,000 kepada Othman Md hassan, 76, bagi meringankan beban keluarga beliau. Othman, penghidap sakit jantung mempunyai isteri yang cacat penglihatan Malikah Cholil, 34 (tiga kiri) dan dua orang anak Siti Nor Afida Othman, 13 (duduk kanan) dan Siti Zuraida Othman, 11 (duduk dua kanan). Demi menampung kehidupan mereka sekeluarga, Malikah mengambil upah mencuci dan menggosok baju sebagai wang tambahan. – Foto Bernama

Pengerusinya, Chua Sui Hau berkata, “Hari ini kami memberi bantuan sebanyak RM4,000 dan kami juga merancang mengumpul dana sebanyak RM40,000 dalam tempoh tiga tahun bagi membantu keluarga berkenaan.

“Wang itu akan disalurkan sebanyak RM1,000 setiap bulan untuk keluarga itu.

“Orang ramai juga boleh menderma melalui Public Bank, nombor akaun 3184938918 atas nama One Hope Charity and Welfare yang memang dikhaskan untuk pakcik Othman,” katanya.

Chua berkata NGO itu membantu orang ramai tanpa mengira kaum dan agama.  Sumber

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...