Selasa, 26 Mei 2015

PENDAPATAN LUMAYAN IMPORT "SAINTIS DADAH"


Kuala Lumpur: Sindiket dadah tempatan sanggup mendatangkan khas ‘saintis dadah’ dari India dan Sri Lanka ke negara ini diupah memasak syabu dan ecstasy bernilai jutaan ringgit.

Tiga suspek warga asing itu dikesan memiliki pengetahuan mendalam merumus serta mengadun pelbagai campuran kimia untuk menghasil dadah sintetik bermutu tinggi.


Bagaimanapun aktiviti sindiket dianggotai lima warga tempatan termasuk seorang wanita itu terbongkar selepas makmal dadah dan stor penyimpanan bahan kimia menghasilkan dadah itu diserbu polis di Sepang, Selangor.

Serbuan dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, JSJN Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor serta Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dalam serbuan Jumaat dan Sabtu lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, polis menahan tiga warga asing membabitkan dua warga Sri Lanka dan seorang warga India selain lima suspek warga tempatan berusia 29 hingga 43 tahun.

Menurutnya, polis merampas syabu dan pil ecstasy dianggarkan bernilai RM10 juta.

“Semua suspek ditahan dalam tujuh serbuan berasingan di Wangsa Maju, Seri Kembangan, Damansara dan Sepang, Selangor.

”Polis membongkar satu makmal dadah sintetik dan stor penyimpanan bahan kimia di sebuah rumah teres setingkat. Turut ditemui syabu seberat 34.76 kilogram bersama 18,651 pil ecstasy dirampas,” katanya.

Sumber: KLIK DI SINI

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...