Rabu, 22 April 2015

KDN PERLU TEGAS BATALKAN LESEN, TAK KIRALAH DATUK KE SIAPA KE ?

Hampir 80 firma kawalan keselamatan pajak lesen kepada kongsi gelap

KUALA LUMPUR, 21 April: Pendedahan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa terdapat sesetengah syarikat kawalan keselamatan yang tidak dinafikan diurus oleh kumpulan kongsi gelap yang menggunakan syarikat berkenaan sebagai topeng melindungi aktiviti haram diakui kebenarannya oleh Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM).

PPKKM, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kepentingan pengawal keselamatan mengakui pembabitan kongsi gelap itu berlaku melalui pemajakan lesen.


Menurut Presiden PPKKM, Datuk Seri Mustapa Ali, sehingga kini lesen yang dipercayai membabitkan hampir 80 syarikat kawalan keselamatan di seluruh negara telah dipajak kepada beberapa kumpulan kongsi gelap.

Beliau menjelaskan, kebanyakan syarikat kawalan keselamatan berkenaan beroperasi di kawasan perumahan dan pembinaan.

Lebih mengecewakan, tindakan memajak lesen itu berlaku walaupun pemegang saham syarikat kawalan keselamatan terbabit terdiri daripada mereka yang pernah berkhidmat dalam organisasi polis atau tentera.

“Kebanyakan ‘bapa angkat’ ahli kongsi gelap ini mempunyai sekuriti berlesen tetapi memajak kontrak tersebut kepada pihak ketiga iaitu ahli kongsi gelap yang tidak berlesen atau merupakan kumpulan haram,” dakwa beliau seperti yang dipetik dari laporan portal berita Astro AWANI.

Dalam pada itu Mustapa turut mendedahkan sejumlah 80 peratus kawasan di Lembah Klang termasuk Pelabuhan Klang dan Subang dilindungi oleh kumpulan kongsi gelap.
“Kita sudah maklumkan kepada KDN supaya mengambil tindakan.

“PPKKM tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan dan terserah kepada kementerian untuk bekerjasama dengan pihak polis.

“Biar pihak terbabit mengambil tindakan supaya perkara ini boleh dicegah atau dihapuskan. Kalau tidak diambil tindakan maka semakin serius lagi kes ini,” tegas Mustafa.

Mustapa turut memaklumkan sebuah ‘task force’ (pasukan bertindak) bersepadu telah ditubuhkan dengan kerjasama KDN, polis dan Jabatan Imigresen sejak tiga bulan lepas bagi membanteras masalah kumpulan ahli kongsi gelap dalam firma kawalan keselamatan.

Setakat ini, dianggarkan terdapat lebih 200,000 pengawal keselamatan tempatan dan warga asing, yang sepatutnya hanya dari Nepal yang sedang berkhidmat di negara ini.

Isu pengawal keselamatan kembali hangat diperkatakan ekoran kejadian amuk yang meragut nyawa seorang pegawai bank dan mencederakan seorang kakitangan lain di di Taman Molek, Johor Bahru minggu lepas.

Manakala di Klang, sekumpulan samseng yang penyerang pos kawalan keselamatan membakar hidup-hidup seorang pengawal keselamatan dan mencederakan lima yang lain.

Sebelum ini pada 14 Ogos tahun lepas, bekas pengawal keselamatan AmBank, La Ode Ardi Rasila seorang warga Indonesia dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh pegawai bank berkenaan, Norazita Abu Talib.

La Ode, 37 tahun didakwa membunuh dan melakukan rompakan dengan melepaskan tembakan menggunakan senjata api dengan niat menyebabkan kematian Norazita, 37 tahun, di bangunan AmBank, di Jalan Sentral 2, USJ Sentral, Subang Jaya, antara jam 6 petang dan 6.30 petang, 23 Oktober 2013.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...