Translate

18/04/2015

DEGIL DAN TIDAK BERTANGGUNGJAWAB, DUIT PUNYA PASAL APA PUN BOLEH DILAKUKAN

14 kenderaan mewah klon disita, 7 individu diberkas dalam operasi khas SPRM

KUALA LUMPUR, 17 April: Sebanyak 14 buah kenderaan mewah pelbagai jenama yang telah dikategorikan sebagai kenderaan lusuh bernilai lebih RM1.5 juta yang dipercayai diseludup dari negara jiran dan dijadikan “kenderaan klon” telah disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan dalam satu operasi selama dua hari sejak Selasa lepas.

Hasil maklumat daripada orang awam serta intipan dan risikan pegawai SPRM selama hampir sebulan, tujuh individu turut ditangkap dalam operasi berkenaan.


Kenderaan yang dikategorikan sebagai kenderaan lusuh dilarang diimport ke negara ini tanpa kebenaran khas kecuali dalam bentuk alat ganti terpakai atau untuk sukan permotoran.

Kesemua tangkapan dan rampasan itu dibuat SPRM itu dalam operasi selama dua hari sejak Selasa lepas di sekitar Seremban dan Johor Bahru.

Dua individu ditahan dan dua buah kenderaan disita di Seremban kerana didapati menggunakan pelekat cukai jalan asli dengan nombor pendaftaran kenderaan sah atau sering dikenali sebagai kereta kembar, klon atau pendua.

Susulan penahan dua lelaki berkenaan, pasukan SPRM yang diketuai oleh Pengarah SPRM Negeri Sembilan Shaharom Nizam Abd Manap sendiri membuat serbuan ke sebuah rumah di Johor Baharu dan menahan tiga lelaki saerta seorang wanita berumur antara 22 hingga 46 tahun.

Dalam serbuan itu, pasukan SPRM turut menyita 12 buah kenderaan pelbagai jenama termasuk kenderaan mewah yang disyaki diseludup dari negara jiran.

Difahamkan sebuah premis pejabat juga telah diserbu dan beberapa peralatan seperti komputer dan pencetak telah dirampas termasuk pelekat cukai jalan asli yang telah siap bercetak dan seorang lelaki ditahan.

Semua yang ditangkap telah ditahan reman antara dua hingga empat hari.

Shaharom Nizam ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan sitaan kenderaan terbabit, lapor portal berita Astro AWANI.

Beliau turut meminta semua pemilik kenderaan lusuh atau klon menyerahkan kenderaan dalam milikan mereka ke pejabat SPRM yang berhampiran secara sukarela atau tindakan undang-undang akan diambil jika enggan berbuat demikian.

Pemilikan kenderaan lusuh adalah berbahaya kerana jika digunakan dalam aktiviti jenayah dan berlaku kesalahan trafik akan mengakibatkan penganiayaan kepada pemilik yang sah.

Selain itu, jika berlaku kemalangan tiada tuntutan insuran boleh dibuat kerana kenderaan lusuh tidak mempunyai perlindungan insuran.

Kerajaan juga mengalami kerugian kerana tiada hasil cukai dapat dikutip dan industri automobil negara juga terjejas jika kenderaan lusuh tidak dikawal.

Shaharom Nizam memaklumkan siasatan kes itu dibuat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sebelum ini di Teluk Intan, seorang ejen insurans buntu apabila nombor pendaftaran kereta jenis Volkswagen Golf miliknya di ‘klon’ bersama pemilik lain dalam satu kejadian di Jalan Speedy.

Lebih menarik perhatian, gambar dua kereta mempunyai nombor pendaftaran sama itu juga menjadi viral di laman sosial Facebook dan WhatsApp.

Ejen insurans berkenaan menerima maklumat menerusi aplikasi sosial WhatsApp daripada rakannya yang menyatakan mereka ternampak kereta Volkswagen Golf menggunakan nombor pendaftaran sama dengannya.

Apabila lelaki berusia 34 tahun tiba di Jalan Speedy, beliau mendapati ada kereta dan nombor pendaftaran sama, namun dimiliki orang lain.

Ketika itu berlaku pertengkaran mulut antara pengadu dengan lelaki disyaki pemilik kereta berkenaan namun pihak polis yang dihubungi segera menghantar anggota bertugas ke tempat kejadian.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...