Rabu, 14 Ogos 2013

DULU PISTOL, SEKARANG BOM PULAK ???

Mangsa letupan bom di Tumpat

Kerajaan Kelantan Minta MKN Jelaskan Tahap Keselamatan

KOTA BAHARU, 13 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Kelantan meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi taklimat mengenai tahap keselamatan di negeri ini supaya pendekatan berkesan dapat diambil bagi membendung kejadian jenayah.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata beberapa kejadian jenayah melibatkan senjata api yang kian membimbangkan boleh menjejaskan keselamatan orang awam serta menakutkan mereka.

"Ia turut memberi kesan kepada aktiviti pelancongan di negeri ini yang boleh menjejaskan pendapatan ekonomi negeri," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di sini Selasa.

Ahmad diminta mengulas kejadian seorang kerani sekolah rendah kebangsaan, Mohd Yusrizal Mat Zain, 32, maut terkena letupan ketika mengambil bungkusan ditinggalkan di atas bumbung sebuan kenderaan MPV di halaman rumah mertuanya di Taman Seri Periuk, Kampung Periuk, Tumpat, Ahad lepas.

Ahmad berkata kerajaan negeri menyokong cadangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) bagi mewujudkan zon keselamatan eksklusif di beberapa kawasan di negeri ini.

"Pada dasarnya kita bersetuju tetapi kita perlu dapatkan maklumat daripada pihak lain mengenai cadangan tersebut," katanya.

Beliau berkata penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan sempadan Kelantan-Thailand perlu menjadi "mata dan telinga" dengan memberi maklumat berkaitan jenayah dan penyeludupan kepada pihak keselamatan.

"Keadaan sempadan negeri Kelantan yang panjang dan Sungai Golok yang sempit membolehkan aktiviti penyeludupan berlaku dengan mudah," katanya.

Mengenai saranan supaya setiap negeri mewartakan fatwa anti-syiah, Ahmad berkata "kita mengamalkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah maka dengan sendirinya fahaman lain tidak boleh terima".

Beliau berkata secara automatik Kelantan menolak fahaman Syiah ini bagaimanapun pihak mufti negeri ini boleh mewartakan fatwa tersebut – BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...