
BESUT - Angkara mencintai isteri orang, seorang lelaki terpaksa bermalam dua malam di hospital akibat cedera dibelasah penduduk kampung apabila perbuatan terkutuk mereka dilihat suami wanita itu sendiri.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin, lelaki berumur 20 tahun yang bekerja sebagai tukang jahit dari Kampung Pangkal Changgong, Machang, Kelantan itu cedera di beberapa bahagian badan termasuk kepala apabila dipukul penduduk kampung.
Difahamkan, dalam kejadian di sebuah kampung di kawasan Jabi yang terletak beberapa kilometer dari Kampung Renek di sini, lelaki terbabit dibelasah ketika berada di dalam rumah sewa wanita itu.
Sebelum itu, kira-kira jam 10 malam, wanita itu dikatakan telah pergi menghantar suaminya yang berusia 23 tahun bermain futsal di sebuah gelanggang futsal di kawasan Jertih.
Apabila pulang ke rumah, wanita itu dikatakan menghubungi buah hatinya dan mangsa datang ke rumah tersebut kerana telah membuat temu janji sebelum itu.





