“TAK PAYAH TUNJUK HERO”. (perkataan yang
tidak sesuai dipanggil kepada seorang pemimpin dan sesuai untuk filem Hollywood). Itu
reaksi Pengerusi PPBM
Terengganu, Datuk Razali Idris berhubung
kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad bukan faktor kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya
Umum Ke-14 (PRU-14).
Menurut Razali, kemenangan PH sebahagian besarnya
berikutan percaturan bijak Dr Mahathir merangka strategi, bukannya hasil kajian
Invoke Malaysia (INVOKE).
Sambil menyifatkan kenyataan sensasi Rafizi itu
bersifat peribadi dan boleh memecah-belahkan PH, beliau berkata sekarang bukan
masa memperlekehkan sesiapa, sebaliknya mengambil peluang untuk membina semula
negara.
Katanya, Rafizi mengambil jalan ke belakang dengan
mencipta krisis dalaman antara komponen PH.
“Antara strategi ampuh yang disusun Tun M ialah
bertanding menggunakan satu logo, mengumumkan Perdana Menteri dan timbalannya
seandainya PH menang serta menyelesaikan isu pembahagian kerusi.
“Kalau ikut kajian INVOKE, PAS tak dapat satu
kerusi pun di Terengganu dan Kelantan tapi apa yang berlaku, PAS menang dua
pertiga sekali gus membuktikan kajian itu tidak tepat,” katanya dalam kenyataan
media di Kuala Terengganu, hari ini.
