Marang: Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix 2013 Sirkit 3 di Bukit Mawi di sini, mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat sukan lasak apabila lebih 1,000 peserta membuat pendaftaran di dewan Majlis Daerah Marang, di sini, semalam.
Jumlah itu sekali gus mencapai sasaran yang sebelum ini hanya menyasarkan seramai 1,000 peserta berbanding dua lokasi sebelum ini, Putrajaya bagi Sirkit 1 dan Kellie’s Castle, Perak bagi Sirkit 2 dengan penyertaan melebihi 1,500 peserta.
Peringkat awal pihak penganjur menjangka penyertaan kurang daripada 1,000 orang tetapi jumlah itu meningkat pada hari pendaftaran apabila ramai peserta yang membuat penyertaan secara ‘walk in’.