Translate

18/01/2023

#PEMBUNUHAN KEJAM: MAYAT DIKERAT ENAM DALAM BAGASI DI TEPI PLUS


SUNGAI BULOH: SATU MAYAT YANG DIPOTONG ENAM bahagian ditemui di tepi jalan Kilometer 447, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara pagi tadi, berhampiran persimpangan Rawang Selatan.

Sebahagian keratan tubuh mangsa disumbatkan ke dalam beg bagasi manakala separuh bahagian badan ditemui di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 11.45 pagi.

"Kita menemui keratan badan (pinggang ke atas tanpa kepala) di tepi jalan serta menemui satu bagasi berhampiran keratan badan.

"Hasil pemeriksaan di dalam bagasi pula kita menjumpai serpihan potongan badan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shafa'aton berkata, mayat itu tidak sempurna kerana tiada kepala serta kedua-dua tangan dan kaki.

"Identiti mayat dan jantina belum dikenal pasti berikutan mayat tidak lengkap dan tiada dokumen pengenalan diri," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu berdasarkan maklumat sumber, mayat berkenaan tidak mempunyai tanda suntikan BCG yang berkemungkinan adalah warga asing.

Siasatan lanjut di lokasi kejadian juga turut dijalankan oleh Unit Forensik Polis Kontinjen Selangor dan Unit Anjing Pengesan (K9).

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2023/01/1053052/mayat-dikerat-enam-dalam-bagasi-di-tepi-plus

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...