KUALA LUMPUR 5 Sept. - Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Bukit Tunku, Lim Yi Wei menggesa Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik
melepaskan jawatannya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM) yang baharu.
Yi Wei yang juga Pengerusi Pemuda Sosialis DAP (DAPSY)
Petaling Jaya Utara berkata, sebagai seorang ahli politik yang mempunyai
kedudukan tertinggi dalam Kementerian Pendidikan, memegang pula jawatan
tertinggi di sebuah universiti jelas akan MEWUJUDKAN KONFLIK KEPENTINGAN.
“Sebagai seorang ahli akademik, Maszlee berkelayakan
untuk jawatan itu tetapi sebagai ahli politik tertinggi di Kementerian
Pendidikan, memegang jawatan tertinggi di sebuah universiti adalah satu konflik
kepentingan yang jelas.
“Sama ada peranan presiden itu adalah eksekutif atau bukan eksekutif adalah
tidak penting. Kita tidak seharusnya memusnahkan manifesto kita dengan
kelemahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, katanya, Maszlee perlu segera
melepaskan jawatan sebagai Presiden UIAM kerana pelantikan itu bertentangan
dengan janji Ahli Parlimen Simpang Renggam tersebut UNTUK TIDAK MENCAMPURI
URUSAN UNIVERSITI. - UTUSAN ONLINE