Translate

13/06/2018

TUN M PERLU JAGA RUMAH SENDIRI..... JANGAN INGAT TERLALU HEBAT

TUN M PERLU JAGA RUMAH SENDIRI..... JANGAN INGAT TERLALU HEBAT.

Di kala ini, UMNO sedang sibuk mengadakan Mesyuarat peringkat cawangan dan Bahagian bagi persediaan menghadapi Pemilihan Agung UMNO yang dijangka bakal diadakan pada 30 Jun ini. Pada ketika ini, kita dapat melihat percaturan semula UMNO pasca kekalahan besar pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu.

Pastinya ramai yang ingin melihat barisan baru yang akan menerajui UMNO setelah Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengambil tanggungjawab melepaskan
JAWATAN PRESIDEN PARTI DAN MENYERAHKAN KEPADA DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI. Malah, sebahagian besar barisan kepimpinan UMNO juga dilihat ada yang enggan mempertahankan jawatan mereka atas dasar tanggungjawab mereka kepada parti.

Nampaknya, bukan sahaja seluruh kaum Melayu dan rakyat Malaysia turut tertarik untuk mengikuti, siapakah yang akan menerajui UMNO selepas ini. Malah, Perdana Menteri dan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir juga turut terpanggil untuk memberi maklum balas tentang apa yang berlaku di dalam UMNO.

Dalam satu kenyataan beliau semalam, beliau dilaporkan media sebagai berkata, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin difikirkannya calon paling layak untuk menerajui UMNO selepas era Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Katanya, aura dan karisma yang dimiliki Khairy sudah cukup untuk membawa UMNO kembali kelandasan yang sebenar.

Agak menghairankan sebenarnya apabila
beliau (Tun M) yang hari ini langsung tidak ada kena mengena dengan UMNO dengan ditambah pula sebagai individu yang bertanggungjawab menjahanamkan UMNO, cuba mencampuri urusan UMNO. Mungkin perlu diingatkan kepada beliau bahawa beliau bukan lagi Presiden mahupun pemegang kad 00001 ahli UMNO lagi.

Tindakan beliau yang meninggalkan UMNO pada 29 Februari 2015 sudah cukup untuk memisahkan dirinya dengan UMNO yang mana hari ini beliau merupakan Pengerusi Pakatan Harapan. Rasanya, elok ahli UMNO sendiri yang menentukan hala tuju parti berkenaan dari terus menerus mendengar mereka yang sudah bukan lagi menjadi ahli UMNO.

Rasanya, kesemua 191 Bahagian UMNO di seluruh negara sudah mempunyai calon yang mereka fikirkan layak untuk menerajui parti. Jadi,adalah sesuatu yang cukup menimbulkan begitu banyak persoalan, apa keperluan beliau untuk mencampuri urusan UMNO? Adakah beliau masih mempunyai kepentingan peribadi di dalam UMNO sehingga mendorong beliau mencadangkan nama Khairy?

Rasanya, di dalam pemilihan kepimpinan DAP, PKR, PAN mahupun PPBM, belum ada kenyataan dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin UMNO yang mencadangkan seseorang individu itu sebagai calon bagi apa jua jenis kerusi yang dipertandingkan. Justeru, rasanya adalah lebih baik beliau menjaga parti dan gabungan partinya terlebih dahulu sebelum mencampuri urusan parti orang lain.


Sumber: KLIK DISINI

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...