KUALA LUMPUR 11 April - “BAGAIMANA
HENDAK MENTADBIR NEGARA? jika simbol yang menjadi perkara
terpenting parti pun boleh diubah dengan sekelip mata?”
Itu pertanyaan Ahli Parlimen Kepong. Dr. Tan Seng Giaw bagi menyelar
keputusan DAP menggadaikan
lambang roket
yang digunakan parti tersebut sejak 1966 semata-mata untuk berada di
bawah gabungan pembangkang PKR.
Seng Giaw yang juga bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira
Wang Negara (PAC) berkata, kepemimpinan tertinggi DAP sepatutnya mengambil
kira pelbagai faktor penting sebelum menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya
Umum Ke-14 (PRU-14) kerana tindakan itu jelas memberi IMPAK
NEGATIF TERHADAP PARTI.
“Susah payah 52 tahun berakhir dengan sekelip mata sahaja apabila
(simbol) menjadi dua bulan sabit pula, merah jadi biru kerana ditukar warna.
Masalahnya, sama ada rakyat akan terima atau penyokong turut bersetuju (dengan
tindakan tersebut.
“Apakah simbol ini akan hilang selama-lamanya atau akan digunakan lagi.
Kalau boleh ubah simbol sekelip mata, apa lagi tidak boleh dibuat di dalam
negara. Benda yang terpenting pun boleh diubah dengan begitu sahaja, ini
masalah apabila manusia pandai-pandai (buat keputusan),” katanya di sini hari
ini.
DAP tidak mencalonkan Seng Giaw bagi mempertahankan kerusi Parlimen
Kepong yang disandangnya sejak lapan penggal lalu bagi PRU-14 dan digantikan
oleh Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.
Seng Giaw sebelum ini mencetuskan rasa kurang senang dalam kem DAP
apabila mengeluarkan kenyataan penafian terhadap penglibatan secara langsung
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu 1Malaysia Development
Berhad (1MDB).
Dalam pada itu, ditanya mengenai kemungkinan akan bertanding pada
pilihan raya akan datang menerusi tiket Bebas, Seng Giaw berkata, tiada
keperluan baginya untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 1982 itu.
“Ada pengikut dan pengundi yang mendesak saya untuk terus bertanding
cara yang lain seperti Bebas dan sebagainya. Ada juga yang kata lebih baik saya
mati. Manusia memang banyak ragam, kadangkala cakap terlampau.
“Jadi, kita perlu cuba melakukan dan mengamalkan cara yang lebih baik,
lebih sopan mengambil pertimbangan perasaan orang lain, saling bantu-membantu.
Tetapi dalam perjuangan, perebutan kuasa ini, sifat manusia itu hilang sama
sekali, itu sahaja,” ujarnya.
Tonton Video berkaitan: KLIK DISINI
Sumber: KLIK DISINI