Translate

01/02/2018

MADEY MENGGUNAKAN KUASA "VETO DAN KUKU BESI" ???

PKR Selangor terutama pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digesa akur dengan arahan Pakatan Harapan (PH) agar diwujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi membincangkan soal agihan kerusi di negeri itu.

Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim berkata jawatankuasa itu perlu ditubuhkan dengan kadar segera memandangkan PH negeri itu perlu memuktamadkan senarai agih kerusi pada 7 Februari depan.

"Keputusan ini dari Majlis Presiden. PKR pun ada dalam itu. Semua setuju. Cuma kita nie (peringkat) negeri, kita sebagai anak, kita ikutlah arahan. Sebenarnya (PH Pusat) dah bagi arahan selesaikan sehingga 31 Januari tapi bila tak selesai, maka (PH) Pusat masuk campurlah. 

"7 Februari itu semua (agih kerusi) kena selesai. Bukan baru Pusat nak masuk (campur). Itu sasaran kita. Saya rasa mungkin dalam Isnin (5 Februari) mereka akan panggil. Minggu ini banyak hari cuti," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Semalam, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas di Selangor bagi memuktamadkan isu agih kerusi di negeri itu.

DR MAHATHIR BERTEGAS JAWATANKUASA PILIHAN RAYA PH SELANGOR TIDAK BOLEH DIGUNAKAN UNTUK BERBINCANG SOAL AGIH KERUSI.


Terdahulu, pimpinan PKR Selangor mempertahankan tindakan mereka menggunakan jawatankuasa Pilihan Raya PH negeri untuk berbincang mengenai agih kerusi.

Namun, Amanah, PPBM dan DAP melihat keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa khas memandangkan Jawatanakuasa Pilihan Raya PH adalah lebih kepada strategi dan gerak kerja menuju pilihan raya.

Izham dalam pada itu mengulas kenyataan Azmin bahawa faktor kebolehmenangan lebih penting daripada mengejar sesuatu tempoh dalam mengagihkan kerusi sesama parti komponen PH.

"Tak boleh..tak boleh..itu bukan keputusan dia. Keputusan ini, keputusan Majlis Presiden yang tetapkan 7 Februari. Kita harus ikut (arahan). Kalau kita dalam organisasi, tapi tak boleh ikut arahan, kecohlah. Jadi huru-hara. Negeri lain dah hampir selesai, pasal apa Selangor tak boleh (selesai).

"Selain daripada timbalan presiden (PKR) dia juga Pengerusi PKR Selangor jadi kena ikut arahan. Dia kena belajar ikut arahan dari Pusat. Bukan dia yang tentukan semuanya. Dalam perjanjian Pakatan Harapan, PKR salah satu komponen parti, tidak ada bersangkut dengan jawatan menteri besar.

"Menteri besar hanya uruskan pentadbiran sahaja. Bila masuk bab rundingan, dia (dirujuk) sebagai Pengerusi PKR," jelas Izham panjang lebar.

Ditanya adakah campurtangan PH Pusat dalam agihan kerusi di Selangor akan menjadi kecoh sepertimana yang berlaku di Negeri Sembilan minggu lalu, Izham berkata beliau yakin insiden sedemikian tidak akan berlaku di negeri itu.

Katanya, pimpinan PH Pusat akan meneliti dan merujuk PH negeri terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan, justeru isu ketidakpuasan hati rakan komponen di Selangor boleh diatasi.

"Sebarang kerusi di peringkat negeri atau Pusat, dibincang dengan negeri. Bahkan kerusi Parlimen pun kita rujuk negeri dahulu. Sebab kita nak tahu maklum balas. Tak ada keputusan yang dibuat di peringkat Pusat tak dirujuk negeri terlebih dahulu.

"Biasanya pengalaman kita, 80 hingga 90 peratus daripada (agihan) kerusi itu boleh selesai. Yang 10 peratus bertindan itu, yang kita perlukan sokongan daripada (PH) Pusat untuk selesaikannya," ujarnya.

Antarapos bagaimanapun menghubungi Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier Jayakumar dan beliau berkata pihaknya tetap akan menggunakan jawatankuasa itu untuk tujuan agih kerusi sehingga menerima arahan selanjutnya daripada Azmin.

Sumber: KLIK DISINI

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...