JAKARTA: Masyarakat keturunan Bugis di
Indonesia masih menunggu permohonan
maaf secara terbuka daripada
bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah mengeluarkan kenyataan
‘menghina' keturunan etnik itu dalam satu
perhimpunan pembangkang di Selangor baru-baru ini.
Konsul Kehormat Malaysia di
Sulawesi, Halim Kalla berkata seluruh keturunan Bugis di Indonesia terutamanya
di Sulawesi sangat tersinggung dengan kenyataan Dr Mahathir dan mereka telah menyampaikan bantahan
kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia.
"Saya juga telah
menyampaikan rasa kekesalan dengan kenyataan Dr Mahathir itu kepada Duta Besar
Malaysia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan memberitahu masyarakat Bugis
mendesak supaya Dr Mahathir memohon maaf atas keterlanjurannya," kata beliau
kepada Bernama di sini, Rabu.
Katanya, sebagai bekas pemimpin
yang pernah disegani dunia, Dr Mahathir tidak
sepatutnya menghina mana-mana keturunan di dunia
ini dan jika telah terlanjur cakap, beliau juga tidak seharusnya berdiam tanpa
memohon maaf.
Dr Mahathir ketika berucap dalam
satu perhimpunan anjuran parti-parti pembangkang pada 14 Okt lepas telah
mengaitkan keturunan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menyebut
sebagai keturunan ‘LANUN
BUGIS'.
Halim berkata walaupun Dr
Mahathir mempunyai perselisihan politik dengan Najib, beliau tidak seharusnya
menghina sesuatu kaum apatah lagi kaum itu banyak berjasa dalam membentuk
kerajaan di Tanah Melayu.
Katanya diaspora keturunan Bugis
terdapat di seluruh dunia dan mereka memegang falsafah ‘di mana bumi dipijak,
di situ langit dijunjung' dan disebabkan itu adalah tidak wajar Dr Mahathir
menghina diaspora keturunan Bugis di Malaysia dengan menyifatkan sebagai
keturunan ‘lanun'.
Beliau berkata Dr Mahathir juga
harus sedar penghinaan terhadap kaum itu turut menyinggung Naib Presiden
Indonesia Jusuf Kalla dan mantan presiden B.J.Habibie yang juga keturunan
Bugis.
Halim berkata beliau yang
mewakili Malaysia di Sulawesi turut tersinggung kerana dirinya sendiri adalah
keturunan Bugis Makassar.
"Jadinya jika sudah
terlanjur cakap, mohon maaf dan mengaku kesilapan, itulah sikap seorang
pemimpin yang sebenar dan kita berharap Dr Mahathir tunjukkan sikap dirinya
sebagai seorang negarawan," kata beliau.
Baru-baru ini Perhimpunan Pemuda
Bugis-Makassar Indonesia turut mendesak Dr Mahathir supaya meminta maaf secara
terbuka kerana kenyataannya itu.
Ketua Umumnya Arwin Welhamina
berkata, pihaknya akan membuat demonstrasi besar-besaran di hadapan kompleks
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam tempoh terdekat jika Dr Mahathir masih
enggan berbuat demikian.
Sementara itu, Duta Besar
Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim memberitahu Bernama, Dr
Mahathir harus membuat permohonan maaf segera atas keterlanjurannya itu kerana
ia membawa masalah kepada rakyat Malaysia di Indonesia.
"Sebagai seorang negarawan,
Dr Mahathir tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata seumpama itu dan kini
beliau meletakkan pihak kedutaan dan rakyat Malaysia dalam bahaya kerana
kata-katanya telah menimbulkan kemarahan rakyat tempatan yang berketurunan
Bugis," katanya.
Beliau berkata, Dr Mahathir harus
bertindak bijak untuk menjaga hubungan dengan negara jiran dan tidak bercakap
sesuka hati yang boleh mengeruhkan hubungan rakyat dengan rakyat antara
kedua-dua negara.-- Bernama
Sumber: KLIK DISINI