APA LAGI TUN MAHATHIR
HENDAK TUDUH PAS selepas
ini. Semua orang tahu Tun seorang yang pendendam, sukar untuk memaafkan.
Jikalau dia sayang seorang, maka janganlah pula ada orang pergi jumpa beliau
beritahu individu ini demikian, demikian. Beliau tidak akan terima. Malahan dia
marah balik kepada pengadu. Kalau dia benci seorang sampai lubang cacing dia akan buru. Tentu kita masih ingat apa yang
beliau tidak tuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu liwat. Beliau tetap buat tuduhan walaupun
dinafikan berkali-kali.
Tun
memang pendendam dengan PAS. Kerana Tun tidak boleh terima Islam yang hendak dibawa oleh PAS. Tun pernah tuduh ini
hudud PAS, apabila dicabar mana pula hudud Umno, sehingga kini tidak terjawab.
Ulama pengampu Umno tidak mampu untuk draf hudud ala Umno dan tolak hujah ulama
PAS.
Tun Mahathir
dendam dengan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz sehingga selepas meninggal dunia pun Tun balun TG
Nik Aziz di dalam ceramah di Tanah Merah, Kubang Pasu. Ceramah ini turut
disertai oleh pemimpin Pan. Mereka kelu dan tidak berkata apa-apa walaupun Tun
Mahathir hentam almarhum TG Nik Aziz. Mana dakwaan pemimpin PAN yang kata TG
Nik Aziz ikon perjuangan mereka. Satu pembohongan.
Tun Mahathir pernah tuduh PAS lebih merbahaya daripada komunis, walaupun hakikatnya Siddiq Ghouse,
Setiausah Politik Dr Mahathir ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran
1974-1975 ditahan ISA sebagai agen komunis. Tun pernah tuduh PAS
ditubuhkan oleh penjajah, hakikatnya Umno adalah anak emas penjajah.
Kerana
ketika semua parti haluan kiri seperti Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu
Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS)
diharamkan pada tahun 1948 sedangkan Umno berada di dalam dakapan penjajah.
Sejarah yang jelas pun Tun boleh tipu, apalah sangat dalam perkara lain.
Sekarang Tun Mahathir tuduh PAS pemecah
belah pembangkang. Satu kenyataan kelakar. Kalau dulu beliau kata PAS pemecah
belah orang Melayu sewaktu beliau
bermaharajalela selama 22 tahun. Hakikatnya beliaulah bapa pemecah belah masyarakat
dan Melayu.
Tiga Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba dan Datuk Seri
Anwar Ibrahim terpelanting. Umno pecah dua kepada team A dan team B,
beliau hanya menang majoriti 43 undi dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Akhirnya
mahkamah telah mengharamkan Umno pada tahun 1987. Lahirnya Parti Semangat
46 dan PKR semuanya zaman beliau. Tiba-tiba Tun kata PAS sebagai pemecah
belah. Tun ini seperti
'berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi'.
Zaman beliau Ketua Hakim Negara, Tun
Salleh Abbas dipecat. Tidak pernah berlaku di dalam sejarah negara, tetapi
berlaku zaman beliau. Sebelumnya Institusi Kehakiman di negara ini cukup
dihormati.
Tun bapa pemecah belah Melayu, buktinya
royalti minyak Terengganu ditarik. Sedangkan jelas tercatat di dalam
perjanjian, 5 peratus mesti diberi kepada negeri yang ditemui minyak. Sekarang
perkara ini diteruskan sehingga zaman Datuk Seri Najib. Siapa yang punya
angkara? Apakah Terengganu
bukan negeri Melayu?
Rumusannya kalau
Tun Mahathir kata kepada PAS, 10 yang dia cakap 13 tidak boleh percaya. Perlu diingat, semasa beliau berkuasa
selama 22 tahun PAS lawan beliau, inikan pula beliau tidak ada kuasa. Tolak BN
dan PH, pilih PAS dan Gagasan Sejahtera.
USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
21 Zulhijjah 1438 / 12 September 2017 - HARAKAHDAILY 12/9/2017
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
21 Zulhijjah 1438 / 12 September 2017 - HARAKAHDAILY 12/9/2017