Penganalisis menyifatkan kebanyakan pihak di negara
ini bersikap tidak adil dengan mengabaikan pencapaian ekonomi Malaysia di
bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebaliknya bagi Dr. Bruce Gale, seorang bekas
penasihat politik dan ekonomi serantau yang kini penulis tetamu akhbar berpengaruh Singapura, The Straits Times, sebahagian rakyat atau
pembangkang lebih gemar memperbesar-besarkan kemelut yang berlaku di dalam
negara yang sebenarnya tidak menjejaskan ekonomi.
Katanya, antara pencapaian di bawah Najib ialah
kemampuan memperbaiki struktur sistem subsidi, pengenalan cukai barang dan
perkhidmatan (GST) secara tersusun dan pelancaran program bagi memenuhi
keperluan hidup golongan berpendapatan menengah dan rendah.
“Ekonomi Malaysia berkembang lebih tinggi berbanding purata
antarabangsa, tetapi Najib tidak diberikan pujian.
“Secara realiti di bawah kepemimpinan beliau,
dasar-dasar ekonomi Malaysia adalah tersusun dan penstrukturan subsidi dan GST
adalah sangat penting kepada negara,” katanya menerusi artikel yang dikeluarkan
oleh The Straits Times hari ini.
Tambah Gale, agak malang apabila kebanyakan pihak
mengeluarkan pandangan tanpa memikirkan sumbangan yang diberikan oleh Perdana
Menteri.
Katanya, sebagai contoh, kontroversi ditimbulkan
bahawa pentadbiran Najib membuatkan hutang kerajaan sehingga Jun 2016 berjumlah
RM655.7 bilion menyamai 53.2% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK),
meningkat daripada 41% pada akhir 2008.
“Namun perlu
ingat, peningkatan mendadak itu berlaku pada 2009, apabila kerajaan terpaksa
berbelanja besar bagi merancakkan ekonomi tempatan. Perbelanjaan itu perlu bagi
menyelamatkan negara yang terkesan akibat krisis hutang dunia pada masa itu,”
katanya.
Jelasnya lagi, antara perkara yang sering disalah
tafsir ialah mengenai kejatuhan ringgit sedangkan kemerosotan nilai mata wang
itu berpunca akibat faktor luaran khususnya penurunan harga minyak.
“Pada masa sama bagi pengkritik, tiada perkara yang
lebih penting untuk mereka isu-isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) dan Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) serta derma daripada Arab
Saudi,” katanya.
Sumber: KLIK DISINI