GEORGE TOWN, 4
Sept — Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata PAS berdepan risiko kehilangan
Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berikutan keengganan parti itu
kembali menyertai pakatan pembangkang.
“PAS akan masih
mempunyai sokongan penyokong tegarnya tetapi mereka akan berdepan
“kekalahan” di semua tempat
(ditandinginya pada PRU14 nanti)” dan malah berisiko kehilangan Kelantan,”
katanya.
Lim yang juga
ketua menteri Pulau Pinang mendakwa PAS tidak boleh membentuk sebuah kerajaan baharu kerana parti itu tidak mempunyai
cita-cita untuk menjadi kerajaan.
Beliau berkata
demikian pada sidang media ketika diminta mengulas kenyataan Pakatan Harapan
baru-baru ini yang memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PAS pada PRU14.
Sehubungan itu,
Lim mengingatkan parti-parti gabungan dalam Pakatan Harapan untuk tidak
berharap PAS akan kembali menyertai pakatan pembangkang.
Beliau mendakwa
PAS kini dilihat lebih cenderung untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN)
dan berikutan itu Pakatan Harapan perlu bersedia untuk menghadapi pertandingan
tiga penjuru pada PRU14. — Bernama
Sumber: KLIK DISINI