BANGSAR: Dua pemimpin kanan
PKR menjadi individu terbaru ditahan pihak
berkuasa berhubung demonstrasi BERSIH 5 hari ini.
"Saya
ditahan di bawah Seksyen 147/511 (Kanun
Keseksaan). Sekarang dalam perjalanan ke (Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala
Lumpur) di Jln Hang Tuah," kata Naib Presiden PKR Tian Chua melalui
Twitter.
Peguam R
Sivarasa menyatakan Tian ditangkap di rumahnya di Bandar Utama oleh sepasukan
polis dari IPK Kuala Lumpur.
"Tuduhan
(yang dihadapkan kepadanya) di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (iaitu)
berkaitan dengan penglibatan dalam rusuhan.
"Esok
polis akan memohon perintah reman," katanya.
Melalui
Twitter pula Tian yang juga anggota parlimen Batu sebelum itu memberitahu ada
sekumpulan polis di luar rumahnya.
"Nampak
macam saya akan ditahan malam ini," katanya.
Kira-kira
jam 11.15 Tian menyatakan: "I have to handover my hand phone etc now. Bye
everyone. Keep the fight" (Saya terpaksa menyerahkan telefon bimbit dan
lain-lain sekarang. Selamat tinggal semua. Teruskan perjuangan).
Sementara
itu kira-kira jam 11 malam tadi sekumpulan anggota polis berkunjung ke rumah
Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin.
"Belum
tentu beliau akan ditahan atau tidak," kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi
Fadzil.
Bagaimanapun
kira-kira 10 minit kemudian Fahmi mengesahkan Zuraida yang juga anggota
parlimen Ampang ditahan dan sedang dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang
Wangi.
"Difahamkan
ada lima hingga enam pemimpin serta aktivis PKR akan ditahan malam ini,"
katanya.
Menteri
Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyatakan lebih
ramai individu yang menyertai BERSIH 5 dan kumpulan Baju Merah akan ditahan
sebelum didakwa di mahkamah.
Ahmad
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata senarai individu yang terlibat
dalam perhimpunan haram itu telah dikenal pasti namun pihak polis tidak akan
mendedahkannya.