Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Abdul Rahman Dahlan akan minta Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Unit
Kerjasama Awam Swasta (UKAS) untuk tidak lagi menganugerahkan
kontrak kerajaan kepada mana-mana syarikat yang mempunyai kaitan dengan BERSIH.
Dalam tweetnya hari ini, Abdul Rahman berkata, beliau bersetuju
dengan pandangan ruangan pojok Awang Selamat dalamMingguan Malaysia yang mahu kerajaan menyenarai hitamkan syarikat terbabit.
"Awang Selamat menulis mengenai ada syarikat-syarikat yang
menaja perhimpunan haram BERSIH dengan tujuan
menggulingkan kerajaan tetapi pada masa yang sama syarikat-syarikat ini mendapat kontrak
dari kerajaan.
"Saya bersetuju dengan pandangan beliau bahawa syarikat
berkenaan perlu disenarai hitamkan dan akan minta EPU dan UKAS untuk melihat
semua latar belakang syarikat yang memohon kontrak kerajaan melalui
mereka," jelas beliau.
Hari ini, akhbar milik Umno itu menimbulkan semula gesaan
supaya kerajaan memberi perhatian terhadap syarikat dan usahawan yang menaja
beberapa siri perhimpunan BERSIH.
Menerusi ruangan pojok Awang Selamat, akhbar itu menggesa kerajaan
menyenarai hitamkan syarikat-syarikat terlibat dengan penganjuran perhimpunan
itu.
"Satu lagi isu yang perlu diberi perhatian adalah pemberian
bisnes dan kontrak kepada syarikat-syarikat serta usahawan yang menaja beberapa
siri perhimpunan BERSIH.
"Hal ini sudah beberapa kali sampai ke pengetahuan Awang.
Sepatutnya syarikat-syarikat tertentu yang pro-BERSIH disenaraihitamkan,"
tulisnya.
Menurut Awang Selamat, tindakan itu perlu dilakukan sebagaimana
langkah diambil kerajaan negeri pembangkang ke atas pihak yang mereka label
sebagai musuh kerajaan negeri.
"Akhirnya apa yang berlaku, kerajaan di sebalik kuasa yang
ada, memperkasakan pihak yang salah.
"Keuntungan besar daripada bisnes itu digunakan untuk terus
membiayai BERSIH yang mahu menjatuhkan kerajaan di luar
proses demokrasi ala Arab Springs,"
tulis Awang.
Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan
Muhammad Rafii menggesa kerajaan membatalkan kontrak syarikat yang didakwa
terlibat dengan perhimpunan BERSIH.
Mendakwa memiliki banyak bukti, Mohd Razlan berkata
syarikat-syarikat berkenaan menikmati keuntungan daripada kestabilan negara dan
kini mahu menjatuhkan kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat. Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, beliau pasti banyak lagi syarikat lain
yang mampu memberikan terma yang setanding atau lebih baik kepada kerajaan yang
perlu diberi peluang.
"Masa untu berlembut dan bertoleransi sudah berakhir.
Syarikat yang membantu gerakan mengugat keselamatan ekonomi negara akan saya
pulau.