Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat,
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyokong pendirian Presiden partinya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
yang menegaskan tidak akan bekerjsama semula dengan DAP dan parti-parti
yang bersamanya.
Nik Abduh berkata dengan kemunculan
blok baharu Gagasan Sejahtera yang dianggotai oleh PAS dan Parti Ikatan dengan
sokongan NGO-NGO Islam menandakan era PAS bersama DAP dalam
Pakatan Rakyat sudah tamat dan permulaan era baharu Parti Islam yang lebih diterima rakyat
“Gagasan Sejahtera wujud selepas
kegagalan dan pecahnya Pakatan Rakyat. Gagal akibat DAP yang menafikan hak PAS
untuk meneruskan perjuangannya sendiri sebagaimana janji dalam Pakatan Rakyat.
“Jadi mengapa PAS harus mengulangi
jalan yang sama? Gagasan Sejahtera adalah penerokaan kepada politik baharu yang
lebih sejahtera dan mudah diterima rakyat,” katanya kepada Harakahdaily.
Jelas Nik Abduh, walaupun PAS dan DAP
dalam Pakatan Rakyat menemui titik persamaan menentang Barisan Nasional (BN)
dari segi politik dan ekonomi, namun kedua-dua parti itu menemui jalan buntu
berkaitan dengan Islam.
DAP jelasnya, gagal memahami sentimen
masyarakat pengundi Melayu-Islam, gagal membuang wajah chauvinis partinya hingga akhirnya PAS juga terpaksa menerima kesan negatif
daripada sikap agresif DAP itu.
“Walaupun DAP konsisten menentang
kebobrokan BN terutama berkait pengurusan kewangan dan ekonomi negara, tetapi
mereka gagal memahami isu-isu negara dengan baik terutama perihal agama,
hubungan antara kaum dan banyak lagi.
“Malaysia
tidak mampu lagi menerima politik benci-membenci dengan fitnah dan saling
mencipta provokasi serta sentimen jahat sesama rakyat,” ujarnya.
Pada 17 Sept lalu, Abdul Hadi selaku
Presiden PAS ketika diinterbiu Terengganukini.net menegaskan bahawa Parti Islam tidak mungkin akan kembali bekerjasama semula dengan DAP kerana parti yang
berasaskan kaum Cina itu menentang Islam.
“(Dengan) DAP mungkin tidak. Tidak
(akan) bekerjasama. Kerana sikap DAP yang tidak berubah menentang Islam. Terang-terang saya
sebut, dia (DAP) menentang Islam.
Menentang akidah Islam,”kata Abdul Hadi.
Sekali lagi wartawan ingin kepastian
dengan bertanya soalan yang sama berkaitan kerjasama PAS dan DAP.
“Kita tidak akan mengulangi senerio
yang lama. PAS tidak akan bekerjasama
dengan DAP dan tidak bekerjasama dengan parti yang bekerjasama dengan DAP, “jawabnya lagi.
Sumber: KLIK DISINI
Sumber: KLIK DISINI