Gambar hiasan |
Penceramah luar yang ingin berceramah di
Johor perlu mendapat tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ)
terlebih dahulu sebelum mengadakan ceramah agama di negeri berkenaan.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum
Sultan Iskandar bertitah walaupun penceramah tersebut bagus kerana pandai
berhujah dan sering berceramah di televisyen, namun apabila dia tidak diberi
tauliah, pasti ada yang tidak kena dengan pengajarannya.
“Cermin dahulu muka sendiri sebelum
nasihat kepada orang lain. Kita akan mengawal mana-mana orang daripada mengajar
agama Islam tanpa tauliah kerana ajaran sesat dan ceramah berbaur politik yang
menjadi medan untuk mengata, memfitnah dan mencaci orang lain akan hanya
mengelirukan masyarakat Islam dan meruntuhkan perpaduan rakyat,” titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada
Majlis Perasmian Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Johor Ke-60 di Dataran
Tanjung Emas malam tadi.
“Dalam Perlembagaan Persekutuan, jelas
memperuntukkan agama Islam di bawah bidang kuasa negeri dan sultan adalah ketua
agama di negeri masing-masing. Dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895
diperuntukkan dengan jelas Sultan adalah ketua agama bagi negeri Johor Darul
Takzim.
“Tapi sejak kebelakangan ini, ada pihak
yang suka mencampuri kuasa agama di negeri-negeri sedangkan mereka hanya
mempunyai bidang kuasa di negeri masing-masing,” titah baginda.
Turut berangkat ke majlis itu ialah
Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan Menteri
Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sultan Ibrahim bertitah amalan yang sekian
lama diamalkan di Johor seperti Maulidur Rasul, bacaan doa awal dan akhir
tahun, nisfu syaaban, bacaan Yasin dan tahlil pada malam Jumaat, membaca doa
qunut dalam sembahyang subuh, membaca talkin dan sebagainya juga dipertikaikan
dan dituduh sebagai bidaah yang membawa kepada balasan neraka di hari kiamat
kelak.
“Saya ingin mengingatkan pihak tertentu
yang mempunyai pandangan berbeza supaya tidak mencampuri urusan agama di Johor
kerana perbuatan itu akan menjadikan umat Islam keliru dan berpecah belah. Umat
Islam di Johor tetap dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Semua negeri mempunyai majlis agama
masing-masing yang ada kuasa dan tanggungjawab untuk mengawal selia serta
memastikan perjalanan hal ehwal agama Islam di negeri masing-masing supaya
berjalan dengan baik, teratur dan harmoni.
“Tidak perlulah orang luar campur tangan
dan sibuk memberi ulasan seakan menunjuk pandai sangat.
“Peranan seorang mufti dalam sesebuah
negeri adalah untuk mengeluarkan fatwa dan menjelaskan mengenai hukum Islam
hanya untuk negeri berkenaan.
“Duduklah diam-diam di negeri sendiri dan jangan jaga tepi kain orang lain,” titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah al-Quran hendaklah
ditafsirkan oleh mereka yang pakar dan mahir dalam bidang tafsir kitab suci itu
bagi mengelakkan ia disalah tafsir sewenangnya.
“Kita mestilah belajar dengan guru agama
atau alim ulama yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama yang sudah menyiasat
latar belakang guru dan penceramah yang betul berdasarkan tauliah yang
diberikan.
“Untuk mendalami al-Quran dan ajaran
Islam, kita tidak boleh hanya merujuk kepada Google, YouTube dan Facebook
semata-mata atau johbulat-bulat maklumat yang disebarkan di media sosial.
“Memang benar urusan dakwah itu boleh
dilakukan sesiapa sahaja, tetapi di Johor ini, kita ada undang-undang untuk
mengawal pendakwah yang boleh mengelirukan dan tidak sehaluan dengan cara
kita,” titah baginda.
– Bernama