BANGI: Lupakan politik dendam kesumat, itu nasihat
yang ditujukan kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said apabila cuba mengemukakan usul undi tidak percaya
terhadap penggantinya, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman baru-baru ini.
Penganalisis
politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Salawati Mat Basir berkata,
tindakan Ahmad yang juga ADUN Kijal itu membayangkan beliau tidak dapat
menerima pelucutan jawatannya dan masih berdendam walaupun sudah lapan belas bulan berlalu.
Ahmad
dilucutkan jawatan sebagai menteri besar Terengganu pada 12 Mei 2014.
"Saya
khuatirkan seperti yang saya katakan tadi, dendam kesumat dalam politik, yang
merasakan bahawa saya (Ahmad Said) dianaktirikan, dianiayai dan sebagainya,
jadi dendam kesumat ini yang bermasalah," katanya kepada Antarapos dalam satu
temubual eksklusif yang didakan di pejabatnya baru-baru ini.
Salawati
berkata demikian mengulas krisis politik Terengganu apabila Ahmad secara tiba-tiba mengusulkan undi tidak percaya terhadap Ahmad
Razif ketika membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal
Abidin.
Yang Dipertua
DUN, Datuk Mohd Zubir Embong bagaimanapun menolak usul itu mengikut Perkara
14(6) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu dengan alasan Ahmad
tidak mengemukakan notis.
Media sebelum
ini melaporkan tindakan Ahmad itu berpunca daripada banyak sebab, antaranya tidak puas hati berhubung penamatan e-Book; isu telaga minyak Bertam 307 yang didakwa
hak Terengganu; Lebuh Raya Pantai Timur yang belum dikenakan kutipan tol hingga kini dan isu perumahan di kawasan Ladang.
Salawati
kemudiannya menasihatkan supaya Ahmad selepas ini mengikut saluran yang betul sekiranya masih tidak berpuas hati dengan penggantinya
itu.
"Kita kena
terima walaupun mungkin kita tidak puas hati, kita boleh bawa kepada sesi
perundangan daripada kita buat usul undi tidak percaya, kita mengganggu
sebenarnya kerja-kerja pembangunan negeri sebab pada saya Datuk Seri Ahmad Said
kena tunjuk, kena buktikan
kepada dunia bahawa Menteri
Besar sedia ada (Ahmad Razif) gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai
Menteri Besar Terengganu.
"Beliau
(perlu) membuktikan Menteri Besar Terengganu yang sedia ada ini gagal melaksanakan
tugasnya, baru dia (Ahmad) boleh melakukan perkara tersebut (usul undi tidak
percaya).
"Itu pun
jika dia dapat pengaruh yang besar di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),
jikalau yang lain pun tidak menyokong, maka tetap juga usul itu akan menjadi
satu usul yang gagal," katanya lagi.
Salawati dalam
pada itu turut memuji Ahmad Razif yang dilihatnya amat merendah diri dan punya
jiwa yang besar meskipun kini menduduki kerusi nombor satu di negeri itu.
"Kalau
betul kita rasa dia (Ahmad Razif) tidak berjaya, kita ikut saluran yang betul.
Kita (boleh) menggunakan
mahkamah. Kita
(boleh) bawa bukti kita (bahawa) dia gagal sebagai menteri besar, (dan) saya
lebih berhak, di mana? Tunjukkan
(bukti itu).
"Dan saya
juga setuju bahawa menteri besar
yang ada ini sangat merendah diri dan 'down to earth'," ujarnya.
Sumber: Antarapos