PASIR PUTEH 1 Sept. - Buat pertama kali
dalam sejarah, penyokong UMNO dan Pas hari ini bersama-sama membuat laporan
polis terhadap sikap biadab peserta perhimpunan haram Bersih 4.0 yang memijak
gambar presiden kedua-dua parti tersebut.
Laporan yang dibuat di Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Bachok itu bertujuan mendesak pihak berkuasa supaya
mengambil tindakan terhadap individu yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO serta Presiden Pas, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang ketika perhimpunan haram tersebut kelmarin.
Malah penyokong kedua-dua parti itu
bersama-sama melaungkan ‘hidup UMNO’; ‘hidup Pas’; ‘lenyap DAP’ dan ‘Bersih
biadab’ ketika berarak keluar dari IPD tersebut sejurus laporan polis dibuat.
Laporan polis itu dibuat oleh Ketua
UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Semerak manakala Pas diwakili oleh Pengerusi Lujnah dan Media Baharu Pas
kawasan tersebut, Zainudin Awang Hamat yang juga bekas ADUN Limbongan pada
pukul 12.20 tengah hari. Yang hadir sama ADUN Selising, Zulkifle Ali.
Sementara itu, Zawawi ketika ditemui
memberi amaran kepada pihak tersebut supaya tidak mengulangi perbuatan yang
boleh membangkitkan kemarahan masyarakat Melayu di negara ini.
“Tidak perlu memohon maaf di atas
kerakusan yang telah dilakukan dalam perhimpunan Bersih 4.0. Kami tidak reda
pemimpin kami dihina dan diperlekehkan. Kami desak pihak polis menjalankan
tindakan yang sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada.
“Biadab dan kurang ajar itulah gelaran
yang sesuai dilabelkan. Jangan ulangi lagi sikap kurang ajar sedemikian. Jangan
sampai maruah negara tergadai.
“Jangan sampai undang-undang negara
diabaikan. Kedua-dua pemimpin ini (Najib dan Abdul Hadi) adalah beragama Islam
dan Melayu yang tidak boleh sewenang-wenangnya diperlekehkan dengan cara yang
tidak bermaruah,” katanya.
Sumber: Klik disini untuk sambungan