KUALA
LUMPUR, 11 Mac: Gambar gelagat dua wanita warga asing yang bermain pasir
dalam keadaan separuh bogel tanpa coli, dipercayai berlaku di Pulau Sulug, Kota
Kinabalu tersebar luas di laman sosial.
Perlakuan itu
mendatangkan kemarahan orang ramai kerana tidak menghiraukan sensitiviti
masyarakat setempat.
Pihak
pengurusan Taman-Taman Sabah yang dihubungi The Rakyat Post berkata,
pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai gelagat dua wanita itu.
Menurut
jurucakap Taman-taman Sabah, setakat ini, Pulau Sulug jarang dikunjungi orang
ramai seperti mana pulau-pulau di dalam kawasan Taman Tunku Abdul Rahman ekoran
kekurangan kemudahan asas untuk pelawat disediakan.
Bagaimanapun
katanya, rondaan dan pemeriksaan serta kerja-kerja pembersihan dilakukan
daripada masa ke semasa oleh pihak Taman-Taman Sabah.
“Pulau itu juga
bukanlah ditutup kepada orang ramai, namun sesiapa yang ingin datang ke sana,
perlu mendapatkan kebenaran daripada Taman-Taman Sabah terlebih dulu, untuk
tujuan keselamatan.
“Berhubung isu
‘topless’ yang dilakukan pelancong asing seperti dakwaan pengadu, Taman Taman
Sabah memandang berat perkara itu kerana tidak membenarkan sebarang aktiviti
kurang sihat dilakukan di semua kawasan pulau-pulau yang terletak di dalam
kawasan Taman Tunku Abdul Rahman,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya,
Taman-Taman Sabah juga tidak teragak-agak akan mengambil tindakan ke atas
mereka yang berkelakuan kurang sopan di khalayak ramai di dalam kawasan Taman
tersebut .
“Bagaimanapun,
sehingga kini, kami masih belum menerima sebarang aduan mengenainya, dan
Taman-Taman Sabah akan menyiasat perkara ini lebih lanjut termasuk memantau
lokasi tersebut,” ujarnya.
Hari ini,
tersebar gambar gelagat wanita gadis warga asing yang bermain pasir dalam
keadaan separuh bogel tanpa coli dengan tidak menghiraukan sensitiviti penduduk
tempatan dan pelancong lain.
Aksi kedua-dua
warga asing berusia sekitar 20-an itu bukan saja diperhatikan pengunjung
kanak-kanak, malah perbuatan mereka berjaya dirakam beberapa pengunjung lain di
pulau itu yang terletak di bawah bidang kuasa Taman-Taman Sabah (TTS).