KUALA LUMPUR, 1 Februari: Setahun selepas
menerbitkan klip video ‘Onederful Malaysia CNY 2104’, Ahli
Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok tampil menerbitkan satu lagi klip video
untuk Tahun Baru Cina berbentuk sindiran yang didasarkan kepada
peristiwa-peristiwa yang ada kaitan dengan beberapa pemimpin negara
tahun ini, walaupun beliau masih berdepan perbicaraan kes Akta
Hasutan kerana video kontroversinya tahun lalu.
Klip video Teresa tahun ini berjudul ‘1
Goat Year 1 Great Family’ (1 Tahun Kambing 1 Keluarga Besar)
menjadikan satu (1) sebagai tema jenakanya.
Pelakonnya popular juga bertambah kerana turut
‘dibintangi’ oleh Sasterawan Negara, Datuk Samad Said, Ahli Parlimen PAS
Shah Alam, Khalid Samad, Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar,
ahli DAP, Hew Kuan Yau, pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Centre to
Combat Corruption and Cronyism (C4), Cynthia Gabriel dan pelakon Lim Jing Miao.
Dengan mengekalkan tema dari video Tahun
Baru Cina tahun lepas, video tahun ini memaparkan Teresa dan
kawan-kawannya berkumpul membuat persediaan sambutan perayaan dan
sambil mengkritik isu semasa dan dasar negara menggunakan kiasan
dalam dialog, grafik, pakaian dan prop.
Walaupun semua skrip dialog mengelak
menyebut secara langsung mana-mana individu atau tokoh, namun mereka yang
biasa dengan suasana sosio-politik negera ini akan dapat mengesan individu
yang cuba dikaitkan dalam klip video berdurasi lima minit itu.
Ia dirakamkan sebahagian besarnya dalam
bahasa Mandarin, namun terdapat beberapa adegan di dalam Bahasa
Inggeris dan Melayu, selain disediakan sari kata untuk membantu penonton
memahaminya.
Susulan penerbitan klip video ‘Onederful
Malaysia CNY 2014′ tahun lepas, Teresa didakwa di bawah Akta
Hasutan 1948 kerana memfitnah dan menghina pasukan keselamatan dalam
insiden pencerobohan Lahad Datu.
Ia membangkitkan kemarahan dan
bantahan banyak pihak, hingga beberapa laporan polis dibuat terhadap beliau.
Teresa bagaimanapun menafikan
video itu memperlekehkan angkatan tentera, mana-mana agensi mahupun
mana-mana individu lain, dan mempertahankan ia hanya sindiran semata-mata.
Kes itu kini menunggu keputusan Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur.