SUBANG:
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan merujuk kepada Peguam Negara
tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menghina mahkamah pada prosiding rayuan kes
liwatnya di Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu.
Pada 'Dialog Bersama Tan Sri Muhammad Shafee
Abdullah' anjuran Akademi Kepimpinan Kapten Hussein, di sini, malam tadi,
katanya beliau akan mengutus surat mengenai perkara itu kepada Peguam Negara
dalam tempoh terdekat.
Makluman itu, katanya, adalah bagi meneliti dan
berbincang sama ada Ketua Umum PKR itu yang kini menjalani hukuman penjara lima
tahun di Penjara Sungai Buloh, wajar dikenakan tindakan atau tidak.
Beliau berkata, sebarang bentuk penghinaan terhadap
institusi mahkamah tidak harus dianggap biasa kerana kesannya akan menyebabkan
rakyat terkeliru selain mengundang persepsi salah dan negatif terhadap badan
kehakiman.
"Kita akan lihat...saya akan berbincang nanti dengan Peguam Negara sama
ada Anwar patut dikenakan tindakan atau tidak atas sebab menghina
mahkamah," katanya yang bertindak sebagai Ketua Pendakwa Raya kes rayuan
berkenaan.
Muhammad Shafee mengulas soalan dibangkitkan tetamu
berhubung tindakan Anwar yang "mengejutkan" mahkamah apabila mendakwa
institusi itu sebagai "rakan subahat" bagi menamatkan karier politik
beliau.
Hadir sama pada program itu, Ketua Pemuda UMNO,
Khairy Jamaluddin; Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun serta beberapa
EXCOnya.
Dialog yang berlangsung lebih dua jam itu turut
dihadiri kira-kira 500 tetamu, majoritinya adalah generasi muda.
Memulakan dialognya malam tadi, Muhammad Shafie
menerangkan secara terperinci hampir 35 minit fakta kes liwat yang berlaku
antara Anwar dan bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.