Gambar hiasan |
EMPAT LELAKI DISYAKI TANAM POKOK GANJA
SHAH ALAM, 2 Okt (Bernama) -- Polis Selangor memberkas seorang
guru dan tiga rakannya kerana disyaki menanam 31 pohon pokok ganja di belakang
sebuah rumah di Kampung Melayu di Sungai Buloh, Selasa lepas.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri ACP Md Tahir Kasim berkata
keempat-empat lelaki berusia lingkungan 34 dan 45 tahun itu ditahan kira-kira
3.30 petang dalam keadaan khayal di rumah berkenaan.
"Serbuan
dibuat selepas kami menerima maklumat orang awam mengenai kegiatan suspek yang
menanam pokok mencurigakan di dalam pasu dan beg plastik di bahagian belakang
rumah terbabit.
"Ketika
ditahan kesemua suspek sedang khayal menghisap ganja di dalam rumah itu,"
katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau
berkata setelah mengeledah rumah itu, polis menemui 622 gram daun dan biji
ganja serta beberapa alatan untuk menghisap ganja.
Polis
juga merampas 292 gram ganja mampat yang disembunyikan di dalam sebuah kereta
di kediaman itu.
"Hasil
semakan lanjut mendapati seorang daripada empat suspek itu mempunyai rekod
jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah," katanya.
Beliau
berkata siasatan awal turut menunjukkan pokok ganja yang dirampas itu dianggarkan
berusia antara tujuh dan lapan bulan.
Semua
suspek kini direman tujuh hari sehingga Selasa depan untuk disiasat mengikut
Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 39B ADB 1952 yang membawa
hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.